AirAsia Group jual kepentingan 32.7% AirAsia India 


Kumpulan AirAsia dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata AAIL hari ini memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) dengan TSL dari India, yang sudah pun memiliki 51 peratus kepentingan dalam AAI. – Gambar AFP, 29 Disember, 2020.

SUBSIDIARI milik penuh AirAsia Group Bhd, AirAsia Investment Ltd (AAIL) sedang melupuskan kepentingan ekuiti sebanyak 32.67 peratus dalam AirAsia India Ltd (AAI) kepada Tata Sons Private Ltd (TSL) pada harga AS$37.66 juta (RM152.58 juta).

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata AAIL hari ini memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) dengan TSL dari India, yang sudah pun memiliki 51 peratus kepentingan dalam AAI. 

Cadangan pelupusan itu akan memberikan keuntungan sebanyak RM152.58 juta pada suku keempat 2020 kepada AAIL dan kumpulan yang disatukan. 

“Aset bersih dan baki tunai AAIL juga akan meningkat dengan jumlah yang sama sejurus selepas pelaksanaan pelupusan tunai ini,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada transaksi itu, akan wujud opsyen saranan berhubung dengan baki 16.33 peratus kepentingan AAI, yang boleh dilaksanakan oleh TSL pada bila-bila masa selepas urus niaga berkenaan selesai.

Di samping itu, terdapat juga opsyen jual yang boleh dilaksanakan oleh AAIL dalam dua peringkat, yang mana peringkat pertama boleh dibuat dari 1 Mac 2022 sehingga 30 Mei 2022 dan peringkat kedua boleh diadakan mulai 1 Oktober 2022 hingga 31 Disember 2022. 

Jumlah pertimbangan berhubung opsyen yang diberikan bagi baki 16.33 peratus kepentingan AAIL ialah sebanyak AS$18.83 juta (kira-kira RM76.29 juta).

Syarikat penerbangan itu berkata AAIL telah bersetuju untuk mengecualikan yuran lesen jenama yang belum dibayar, yang perlu dibayar oleh AAI kepada AirAsia Bhd di bawah perjanjian lesen jenama dan perkhidmatan teknikal bertarikh 30 Disember 2019 berikutan pandemik Covid-19. 

Ia menambah pengecualian ini tidak akan memberi sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan AirAsia serta anak-anak syarikatnya. – Bernama, 29 Disember, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen