Menara telekomunikasi jadi sasaran penunjuk perasaan di India


Petani di India membakar poster syarikat telekomunikasi Reliance Jio ketika tunjuk perasaan terhadap pembaharuan pertanian kerajaan. – Gambar AFP, 29 Disember, 2020.

LEBIH 1,600 menara telefon dirosakkan di sebuah negeri di India apabila kumpulan petani yang mengetuai kempen berkenaan menyatakan kemarahan terhadap pembaharuan pertanian kerajaan, kata pegawai.

Tindakan itu dilakukan ketika puluhan ribu petani menunjukkan tanda protes di jalan utama menuju ke ibu kota New Delhi selama lebih sebulan bagi menentang undang-undang baharu reformasi pasaran.

Pemimpin petani berkata pembaharuan itu akan membawa kepada pengambilalihan perniagaan pertanian oleh konglomerat India dan meminta memboikot kumpulan seperti Reliance yang memiliki menara telekomunikasi dan Adani.

Pemimpin kesatuan petani bagaimanapun menolak sebarang peranan dalam tindakan gerila terhadap menara telekomunikasi di negeri Punjab, kawasan pertanian India.

Menara itu mempunyai bekalan elektrik dan kabel gentian yang dipotong sementara beberapa penjana kuasa dicuri, kata pegawai.

Sumber terdekat dengan Jio, syarikat telefon bimbit Reliance berkata lebih 1,400 menara dirosakkan sehingga Ahad lepas.

Seorang pegawai industri telekomunikasi berkata sekurang-kurangnya 150 lagi menara mengalami kerosakan pada Isnin.

Video memaparkan pekerja Jio dikejar dari menara sudah banyak dikongsi di media sosial.

Reliance yang dimiliki oleh individu terkaya di Asia, Mukesh Ambani masih belum memberi sebarang alasan berkenaan kegiatan vandalisme berkenaan.

Namun perkhidmatan telefon bimbit terjejas di Punjab yang memiliki 9,000 menara.

Penunjuk perasaan juga sudah menyekat salah satu depot minyak masak terbesar di Punjab yang dimiliki oleh anak syarikat Adani, Fortune di bandar Amritsar, Punjab.

Kerajaan berkata perubahan yang memungkinkan petani menjual hasilnya di pasar bebas perlu memodenkan sektor luar bandar, asas ekonomi India dan meningkatkan pendapatan ladang.

Petani yang menerima subsidi awam besar juga menuntut agar undang-undang berkenaan ditarik semula dan harga minimum untuk produk utama dijamin.

Satu rundingan baharu antara pemimpin kesatuan dan kerajaan akan diadakan pada Rabu. – AFP, 29 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen