Keluarga tinggal dalam kereta dapat rumah PPR, bantuan kewangan


Ustaz Ebit Lew mengunjungi dan memberi bantuan kepada keluarga S Ganesh selepas lapan bulan terpaksa tinggal dalam kereta. Kini keluarga terbabit menerima rumah PPR daripada kerajaan negeri.– Gambar Facebook, 26 Disember, 2020.

KERAJAAN Pulau Pinang menyediakan unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan bantuan kewangan kepada sebuah keluarga yang menjadikan kereta sebagai kediaman mereka sejak lapan bulan lalu bersama tiga anak dan termasuk bayi berusia lapan bulan.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri telah menghubungi keluarga S Ganesh, 34 yang merupakan pengawal keselamatan, pada April selepas rumah mereka di Lebuh Carnavon musnah dalam kebakaran.

Pada April yang lalu, pihak Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi kerajaan berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah Pulau Pinang telahpun menghulurkan bantuan sejurus kebakaran berlaku di kediaman yang didiami beliau sekeluarga.

“Sebuah tempat pemindahan sementara di Kompleks Masyarakat Penyayang telah disediakan dan ditawarkan oleh pihak JKM Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Daerah dan Tanah Pulau Pinang kepada beliau sekeluarga akan tetapi difahamkan bahawa pemindahan tersebut tidak berjaya atas sebab hasrat mereka untuk berpindah ke rumah saudara mara yang terletak di Air Itam pada malam yang sama itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Phee berkata Ganesh tidak menghubungi kerajaan negeri sehinggalah berita mengenai mereka viral. 

Bagaimanapun kerajaan negeri mengambil tindakan dan semalam Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, Kerajaan Tempatan dan Perancang Bandar dan Desa Jagdeep Singh Deo menyerahkan kunci unit PPR semalam.

Ganesh dan isterinya Parameswari, 32, kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Mei menyebabkan mereka terpaksa tinggal dalam kereta. 

Ganesh tidak mampu untuk menyewa bilik mahupun rumah kerana kebanyakan ejen meminta bayaran deposit yang tinggi. 

Keluarga ini bagaimanapun menerima bantuan daripada Ustaz Ebit Lew yang menyewakan tempat tinggal sementara. 

“Menangis sebak semalam terbaca pasal Ganesh dan isteri Parameswari serta tiga anak kecil tidur dalam kereta. Sedihnya lapan bulan makan, tidur dalam kereta. Mandi di tandas awam,” tulis Ebit dalam postingnya di Facebook. 

Ebit berkata beliau menyewakan sebuha rumah tiga bilik kepada mereka sehingga permohonan bantuan perumahan yang sudah dimohon dua kali lulus. 

“Saya akan bayar sewa rumah untuk sebulan sementara mereka dapat rumah PPRT. Dah dua kali mohon semenjak rumah terbakar. Tapi jika mereka terus ingin terus di situ pun saya akan terus bayarkan dengan gembira,” katanya.

Ebit turut menghadiahkan peti ais, mesin basuh, TV, periuk nasi elektrik, dapur, kipas, katil , barang dapur dan duit belanja.

“Baik sangat pasangan ini,” katanya.  – 26 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen