Kes Covid-19 berkait tapak binaan melonjak di Lembah Klang


Punca jangkitan Covid-19 daripada tapak pembinaan kebanyakannya daripada kontak rapat dengan kes positif selain pergerakan pekerja dari satu tapak ke tapak yang lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2020.

KLUSTER Covid-19 yang ada kaitan dengan tapak pembinaan kini mencatatkan lebih 4,000 kes yang dapat dikesan.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 30 kluster aktif berkaitan tapak pembinaan di negara ini, tetapi kebanyakannya di Lembah Klang.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkata setakat 17 Disember, sebanyak 17, 318 tapak pembinaan yang beroperasi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

Punca jangkitan daripada tapak pembinaan kebanyakannya daripada kontak rapat dengan kes positif selain pergerakan pekerja dari satu tapak ke tapak yang lain.

Selain itu, CIDB berkata keadaan yang teruk, sempit dan sesak di kuarters pekerja menjadi antara punca lonjakan kes di tapak pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Ahmad Asri Abdul Hamid berkata semua kontraktor perlu memastikan tapak pembinaan dan kuarters pekerja mematuhi SOP.

Beliau berkata semua pekerja warga asing di tapak pembinaan di kawasan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan mereka tidak positif virus itu.

“Tambahan kepada pematuhan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, kontraktor juga digesa patuh Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dengan menyediakan kemudahan perumahan untuk pekerja mereka.

“Pematuhan SOP bukan saja penting untuk mencegah penularan Covid-19 tetapi bagi mengelak kerugian terpaksa ditanggung kontraktor dan pelanggan dalam jangka panjang,” katanya.

Pada masa ini, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan dikenakan PKPB hingga hujung tahun.

Sejak beberapa hari lalu, berlaku lonjakan kes di Selangor dan Kuala Lumpur, yang ada kaitan dengan jangkitan di tapak pembinaan.

CIDB berkata pemeriksaan di tapak pembinaan akan digiatkan susulan lonjakan kes Covid-19.

Lembaga itu turut memberi amaran arahan henti kerja akan dikeluarkan kepada kontraktor yang gagal mematuhi SOP di tapak pembinaan.

Mereka juga akan tertakluk kepada tindakan disiplin, termasuk hukuman denda atau pendaftaran mereka digantung atau ditarik balik.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim memberitahu The Malaysian Insight bahawa kementerian itu giat menguatkuasakan Akta 446.

“Kementerian menjalankan penguatkuasaan akta itu dengan agresif apabila ada kluster baharu dikesan dalam sektor tertentu.

“Kita akan fokus kepada semua sektor bagi memastikan majikan menguatkuasakan Akta 446, terutama bila ia membabitkan pekerja asing. Perkara sama dikenakan kepada sektor pembinaan,” katanya.

Beliau berkata operasi masih dijalankan dan majikan yang berdegil akan dibawa ke mahkamah.

Tapak pembinaan di Damanlela di Kuala Lumpur dan Selangor menyaksikan kebanyakan kes, melaporkan lebih 2,600 kes jangkitan, setakat 23 Disember. – 25 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen