Antivaksin di Perancis mungkin dilarang naik pengangkutan awam


Perdana Menteri Perancis Jean Castex mendapat sokongan kabinetnya terhadap RUU untuk menangani krisis kesihatan, termasuk pandemik koronavirus. – Gambar EPA, 23 Disember, 2020.

MEREKA yang tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 boleh dilarang menggunakan pengangkutan awam di Perancis, menurut deraf undang-undang yang mencetus protes daripada ahli politik pembangkang pada Selasa.

Perdana Menteri Jean Castex pada Isnin mendapat sokongan kabinetnya terhadap RUU untuk menangani krisis kesihatan, termasuk pandemik koronavirus.

Menurut teks yang diserahkan kepada Parlimen, ujian negatif Covid-19 atau bukti “rawatan pencegahan, termasuk pemberian vaksin” mungkin diperlukan untuk membolehkan orang ramai diberi “akses kepada pengangkutan atau ke beberapa lokasi, serta aktiviti tertentu”.

Kempen vaksinasi kerajaan akan dimulakan pada Ahad dan para pegawai sudah berdepan penentangan meluas terhadap rawatan yang dibangunkan dalam tempoh singkat sejak wabak melanda Eropah awal tahun ini.

Satu tinjauan baru-baru ini oleh akhbar Journal du Dimanche mendapati 59% responden berkata mereka tidak akan mendapatkan suntikan vaksin, salah satu kadar tertinggi dalam Kesatuan Eropah (EU).

Presiden Emmanuel Macron berjanji vaksinasi koronavirus, walaupun sangat disarankan, tidak akan diwajibkan, janji yang diulangi oleh Menteri Kesihatan Olivier Veran pada Selasa.

“Saya katakan sekali lagi, vaksinasi tidak wajib,” kata Veran yang juga terbuka terhadap pengubahsuaian RUU itu.

Bagaimanapun, ahli politik pembangkang mengecam deraf undang-undang itu, dengan Marine Le Pen, pemimpin parti RN sayap kanan berkata ia akan mencegah sesiapa yang tidak mengambil vaksin menjalani kehidupan sosial.

Jurucakap parti RN Sebastien Chenu berkata kerajaan Macron merancang melaksanakan “diktator kesihatan”.

Senator Nathalie Goulet mengatakan rancangan itu adalah “serangan terhadap kebebasan awam”, sementara wakil kiri sayap Alexis Corbiere berkata “sekurang-kurangnya kami dapat mengadakan perbincangan bersama jika ideanya adalah untuk mengehadkan kebebasan awam kita.”

Laureline Fontaine, seorang profesor undang-undang di universiti Sorbonne Nouvelle di Paris, berkata kepada AFP deraf undang-undang itu akan secara efektif mengekang kuasa Parlimen, “kerana langkah luar biasa ini dapat dilaksanakan dengan dekri.” – AFP, 23 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen