Status feri Pulau Pinang belum jelas, kata Ketua Menteri


Kerajaan negeri berharap mendapat penjelasan setelah Menteri Kewangan menyatakan bahawa perkhidmatan feri yang ikonik itu akan terus beroperasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2020.

KERAJAAN negeri masih belum jelas sama ada perkhidmatan feri Pulau Pinang akan terus beroperasi atau ditamatkan perkhidmatannya tahun depan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap mendapat penjelasan daripada Kerajaan Persekutuan setelah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam menyatakan bahawa perkhidmatan feri yang ikonik itu akan terus beroperasi.

Menurutnya lembaga pengurusan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas berhubung perkara itu agar mematuhi kenyataan Kementerian Kewangan atau Kementerian Pengangkutan.

“Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan PPSB terkejut dengan pengumuman (Menteri Kewangan) baru-baru ini. Mengikut laporan PPSB kepada Exco Pulau Pinang sebelum ini, agensi itu tidak merancang untuk mengekalkan perkhidmatan feri dalam rancangan pembangunan mereka,” katanya pada sidang media di George Town hari ini.

Bagaimanapun, Chow berkata, beliau tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai kekeliruan itu sehingga keputusan yang jelas dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, PPC telah mengumumkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri itu akan diganti dengan perkhidmatan bot laju mulai 1 Jan depan.

Bagaimanapun semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam persidangan Dewan Rakyat berkata PPSB akan diminta meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang telah menjadi ikon dan memiliki nilai-nilai warisan negeri. – Bernama, 18 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen