Twitter ambil tindakan hantaran palsu vaksin Covid-19


Twitter akan memberi keutamaan untuk menghapuskan maklumat mengelirukan yang paling berbahaya mengenai vaksin Covid-19. – Gambar EP, 17 Disember, 2020.

TWITTER pada Rabu berkata ia akan bertindak tegas terhadap hantaran palsu mengenai vaksin Covid-19 mulai minggu depan, mengikut langkah dibuat Facebook dan YouTube.

Platform media sosial itu menyasarkan hantaran yang mengandungi maklumat palsu mengenai bagaimana virus itu tersebar dan keberkesanan langkah kesihatan awam seperti memakai pelitup muka.

“Kami akan mengutamakan penghapusan maklumat mengelirukan paling berbahaya, dan ... mulai melabel tweet yang mengandungi maklumat berkemungkinan mengelirukan mengenai vaksin,” kata Twitter dalam satu kenyataan.

“Kami fokus untuk mengurangkan maklumat mengelirukan yang menimbulkan kemungkinan bahaya terbesar bagi kesihatan dan kesejahteraan orang.”

Polisi ini merangkumi tindakan terhadap dakwaan vaksin digunakan untuk sengaja menyebabkan bahaya atau mengawal orang.

Kempen vaksinasi dimulai di beberapa negara, termasuk Britain, Amerika Syarikat dan Kanada, dan bakal dimulakan di Kesatuan Eropah selepas mendapat kebenaran daripada pengawal selia terhadap vaksin dibangunkan oleh Pfizer-BioNTech.

YouTube dan Facebook sebelum ini mengumumkan polisi tegas untuk menapis maklumat salah dan usaha mengganggu kempen vaksinasi. – AFP, 17 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen