Ada puak pro-Anwar, DAP dalam Umno, kata Annuar Musa


Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata terdapat konspirasi menghentikan dasar 'No DAP, No Anawar' yang dipegang Umno selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2020.

BEBERAPA pihak dalam Umno mendesak untuk bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa.

Tanpa mendedahkan siapa, beliau berkata terdapat konspirasi menghentikan dasar “No DAP, No Anawar” yang dipegang Umno.

“Kesukaran kita bertindak terhadap percubaan berkali kali mengkhianati dasar ‘No DAP, No Anawar’ adalah kerana tak tergamak, hormat, segan dan sifat-sifat toleren Melayu yang lain.

“Justeru konspirasi menggagalkan dasar ‘No DAP, No Anwar’ sedang berjalan..SD (akaun bersumpah) cuba dikutip, pujuk rayu berterusan, punca kemarahan kepada kerajaan cuba direka, nama istana dan kerabat turut diguna,” tulis Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh dan menteri Wilayah Persekutuan di Facebook hari ini.

Beliau berkata mereka yang berada di belakang “gerakan” ini sudah dikesan.

“Mereka mungkin tidak sedar, gerakan mereka sudah dibaca,” tambahnya.

Beliau berkata mereka juga cuba membuatkan rakyat salah faham dengan mendakwa sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) akan menyebabkan DAP berkuasa.

Komen Annuar itu dibuat susulan kemungkinan baru-baru ini Umno akan bekerjasama dengan PH Perak dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu, selepas penggulingan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan menteri besar.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan parti lain untuk mewujudkan pakatan politik baharu susulan kejatuhan kerajaan negeri Perak.

Susulan kenyataan Zahid, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata DAP bersedia berunding dengan Umno di Perak dalam keadaan tertentu. Menurut Nga, perbincangan dimulakan dengan DAP menetapkan terma dan syaratnya.

Namun, idea perkongsian Umno-DAP di Perak tidak bertahan selepas Bersatu, PAS dan Umno mencapai persetujuan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu di negeri ini, dengan persetujuan Saarani Mohamad daripada Umno sebagai menteri besar.

Zahid juga meminta maaf kepada parti gabungan PN berhubung peranan Umno dalam menyebabkan kejatuhan pentadbiran sebelumnya, kerana Adun yang membawa usul undi percaya terhadap Faizal datangnya daripada Umno. – 12 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen