Lantikan exco Perak sudah dibincang, kata Adun PAS


PELANTIKAN wakil rakyat PAS sebagai exco sudahpun berbincang dengan menteri besar baharu Perak Saarani Mohamad, Adun Semanggol Razman Zakaria.

Beliau mengakui perkara itu ketika ditanya selepas beliau mengumumkan permohonan maaf kepada Sultan Perak kerana tidak hadir menghadap pada Selasa.

“Sudah… (senarai exco) sudah ada dengan menteri besar insya-Allah,” kata Razman yang enggan mengulas lanjut dalam sidang media di Perak petang ini.

Beliau hadir bersama dua lagi Adun parti itu, Shahrul Zaman Yahya (Rungkup) dan Akmal Kamarudin (Selama).

Mereka mengakui melakukan kekhilafan kerana tidak menghadap baginda seperti yang dititahkan, kata Razman. 

Permohonan maaf itu dibuat selepas Saarani mengumumkan, lima lagi calon exco hanya boleh dilantik dengan perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Lima yang sudahpun mengangkat sumpah semalam termasuk seorang Adun dari Bersatu, Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik).

Empat lagi dari BN dilantik semula – Zolkafly Harun (Lintang), Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Tiga wakil rakyat PAS itu tidak hadir menghadap baginda pada Selasa atas arahan parti.

Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan pada keesokan harinya menjelaskan, tindakan itu dibuat kerana PAS tidak mahu membuat keputusan yang silap mengenai calon menteri besar.

Parti itu juga sedia bekerjsama dengan parti dalam gabungan Perikatan Nasional – Bersatu dan Umno untuk menyelesaikan krisis di Perak, katanya.

Saarani mengisi kekosongan jawatan menteri besar selepas pendahulunya Ahmad Faizal meletak jawatan apabila ditolak majoriti wakil rakyat dalam undian di Dun Perak pada Jumaat.

Dalam undian ke atas usul undi percaya oleh Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali. – 11 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen