PAC pandang serius laporan Barometer Rasuah Global Asia 


Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata pihaknya akan memanggil TI untuk memberikan taklimat berhubung laporan itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2020.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memandang serius Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 diterbitkan Transparency International (TI) yang antaranya mendapati 71 peratus rakyat Malaysia berasakan masalah rasuah dalam kerajaan adalah satu masalah yang besar.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata PAC akan memanggil TI untuk memberikan taklimat berhubung laporan itu, dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  bagi memberikan ulasan dan hala tuju SPRM dalam memerangi rasuah serta meningkatkan integriti pentadbiran awam negara.

“PAC berpendapat angka ini menunjukkan ketidakyakinan rakyat Malaysia terhadap integriti pentadbiran awam negara serta anggota-anggotanya.

“Faktor-faktor yang menyumbang kepada situasi ini harus dikenal pasti dan usaha ke arah membanteras rasuah perlu dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keberkesanan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) juga perlu dikaji memandangkan soal selidik laporan itu adalah dalam tempoh pelaksanaan NACP.

Berdasarkan laporan itu juga, 39 peratus rakyat Malaysia berasakan masalah rasuah meningkat dalam tempoh 12 bulan lepas selain kadar kepuasan terhadap SPRM berada pada paras 74 peratus.

Sejumlah 36 peratus rakyat yang ditinjau pula berpendapat ahli Parlimen mereka adalah korup dan ini lebih tinggi berbanding tujuh negara Asia lain iaitu Bangladesh (18 peratus), Taiwan (17 peratus), Myanmar (14 peratus), Filipina (12 peratus), China (11 peratus) serta Kemboja dan Vietnam, masing-masing enam  peratus. – Bernama, 2 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • orang politik boleh dibeli mcm kt pasar borong

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Marhaen Marhaen · Ulasan