Bersatu yakin menang majoriti lebih besar pada PRU akan datang


Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut memperjuangkan resolusi untuk penyertaan 20% pemuda dalam Parlimen dan DUN seluruh negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2020.

BERSATU mampu memenangi majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang sekiranya momentum kerajaan Perikatan Nasional dalam mentadbir negara diteruskan, kata ketua Pemudanya.

Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan sekiranya Bersatu mampu meluluskan undi Belanjawan 2021 walaupun terdapat bantahan daripada pembangkang dan juga Umno, parti itu mampu mengawal sepenuhnya situasi politik semasa.

“Alhamdulillah, Belanjawan 2021 juga lulus di peringkat dasar. Sekiranya kita kekalkan momentum hari ini, saya percaya tuan-tuan, kita akan berjaya pada pilihan raya akan datang dan memenangi dua pertiga majoriti yang tidak pernah dimenangi sejak hamoir dua dekad!” katanya pada ucapan pembukaan perhimpunan Agung Bersatu hari ini.

Timbalan menteri belia dan sukan itu juga berkata Bersatu tidak akan berjaya dengan sendiri dan menegaskan kerjasama antara parti dalam PN menjadi tunjang kepada kemenangan.

“Penyatuan ini tidak dapat diapai tanpa rakan dalam PN. Kesatuan ini tidak dapat dicapai sendiri tetapi dengan rakan-rakan dari PN. Ketika laungan pilihan raya dibunyikan, ketika kita berbaris untuk membentuk kubu dan formasi, kita berjuang sebagai pemuda Perikatan Nasional,” kata Wan Fayhsal.

Pemuda Perikatan Nasiona diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khiruddin dan Wan Fayshal merupakan timbalannya. PN terdiri daripada Bersatu, PAS dan parti dari Sabah STAR dan SAPP.

Terdapat 13 resolusi yang diperjuangkan Pemuda Bersatu termasuk mengekalkan umur persaraan dan rumah mampu milik.

Antara resolusi lain adalah melibatkan pemuda dalam setiap aspek politik termasuk quota untuk calon pemuda pada pilihan raya umum akan datang selepas pengurangan had umur calon berkuatkuasa pada Julai depan.

“Armada mencadangkan 20% daripada calon pilihan raya atau lantikan mestilah dari kalangan pemuda. Ini termasuk ahli Parlimen, Adun, senator, ahli majlis tempatan dan kakitangan sokongan pentadbiran,” kata Wan Fayhsal.

Pemuda Bersatu juga mencadangkan beberapa langkah geopolitik termasuk ASEANA PAX dan Malaysia menjadi titik fokus bagi pelbagai industri berkaitan Islam.

“Sebagai negara perdagangan, keamanan dan keterbukaan Selat Melaka dan Laut China Selatan harus dilindungi dari ketenteraan oleh kuasa apa pun,” kata Wan Fayhsal.

Perhimpunan agung Bersatu hari ini berlangsung menerusi sidang video berikutan pandemik Covid-19.

Perhimpunan agung ketiga itu merupakan yang pertama diadakan selepas keluar daripada Pakatan Harapan dan beberapa pengasasnya termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad keluar parti.

Pertikaian antara presiden parti Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir berlaku apabila bekas pemimpin parti itu tidak setuju Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan, menyebabkan kerajaan tumbang pada 22 Februari, hanya selepas 22 bulan berkuasa.

Muhyiddin kemudian kembali menjadi perdana menteri selepas membentuk kerajaan PN bersama Umno, PAS, GPS dan parti komponen Barisan Nasional lain.

Pada Mei lalu, Bersatu memecat Dr Mahathir dan empat yang lain termasuk anaknya Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq.

Selepas itu, Dr Mahathir menubuhkan parti Pejuang, iaitu parti yang sama seperti Bersatu untuk membanteras rasuah dan menentang mereka yang bekerjasama dengan kleptokrat.

Bagaimanapun, Pejuang masih belum didaftarkan secara rasmi walaupun permohonan dibuat pada Ogos lalu selepas ditangguhkan beberapa kali oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS). – 28 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen