AS sekat syarikat China dan Rusia kerana urus niaga dengan Iran


Setiausaha Negara Mike Pompeo mengumumkan sekatan ekonomi selama dua tahun terhadap 4 syarikat dari China dan Rusia susulan urus niaga mereka dengan Iran. – Gambar EPA, 28 November, 2020.

AMERIKA Syarikat (AS) pada Jumaat mengumumkan sekatan ekonomi terhadap syarikat China dan Rusia yang dakwa Washington menyokong pembangunan program peluru berpandu Iran.

Empat syarikat itu, yang dituduh “memindahkan teknologi dan barang sensitif kepada program peluru berpandu Iran,” akan dikenakan sekatan bantuan kerajaan AS dan eksport mereka selama dua tahun, kata Setiausaha Negara Mike Pompeo dalam satu kenyataan.

Sekatan yang dikenakan pada Rabu, terhadap dua syarikat berpangkalan di China, Chengdu Best New Materials dan Zibo Elim Trade, serta Nilco Group dan Join Stock Company Elecon yang berpusat di Rusia.

“Kami akan terus berusaha menghalang usaha pembangunan peluru berpandu Iran dan menggunakan sekatan pihak berkuasa kami untuk mendedahkan pembekal asing, seperti entiti ini PRC (China) dan Rusia, yang menyediakan bahan dan teknologi berkaitan peluru berpandu kepada Iran,” tambah Pompeo .

Presiden Donald Trump pada 2018 membawa AS keluar daripada perjanjian nuklear Iran yang dibuat tiga tahun sebelum itu semasa pentadbiran Presiden Barack Obama.

Sejak itu, Trump mengenakan kembali sekatan yang melumpuhkan terhadap republik Islam dalam apa yang disebutnya sebagai kempen “tekanan maksimum.”

Pentadbiran Trump juga menunjukkan tindakan tekadnya menyekat mana-mana negara atau syarikat asing yang tidak mematuhi dasarnya terhadap Iran. – AFP, 28 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen