Vaksin Covid-19 mesti terbukti selamat dan berkesan, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Vaksin Covid-19 perlu disahkan selamat dan berkesan oleh biro pengawalan farmaseutikal sebelum diberi walaupun perjanjian perolehan sudah ditandatangani dengan pengeluar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2020.

VAKSIN Covid-19 perlu disahkan selamat dan berkesan oleh biro pengawalan farmaseutikal sebelum diberi walaupun perjanjian perolehan sudah ditandatangani dengan pengeluar, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini ini berkata kerajaan sudahpun menandatangani perjanjian dengan syarikat farmasi Pfizer untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Pfizer akan menyediakan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 yang dapat meliputi 6.4 juta rakyat Malaysia.

“Walaupun ada perjanjian, yang penting virus itu perlu mendapat kelulusan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk keberkesanan dan keselamatannya,” kata Ketua Pengarah Kesihatan. 

Beliau berkata pihak berkuasa perlu berhati-hati dalam pemberian vaksin kerana dosnya terhad.

Keutamaan perlu diberikan kepada petugas kesihatan barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi, katanya.

Kementerian Kesihatan akan memantau kesan sampingan dan keberkesanan vaksin berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata kerajaan sudah menandatangani perjanjian dengan beberapa pihak termasuk platform Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax) bagi memastikan Malaysia mendapat bekalan vaksin mencukupi.

Covax diuruskan oleh GAVI, Gabungan bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Pfizer akan memberikan 12.8 juta dos imunisasi untuk 6.4 juta rakyat Malaysia.

Penghantaran vaksin tersebut akan dibuat secara berperingkat – 1 juta dos pada suku pertama 2020, 1.7 juta dos pada suku kedua, 5.8 juta pada suku ketiga dan 4.3 juta pada suku akhir. – 27 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen