Pembangkang iktiraf Perikatan bila lulus Belanjawan 2021, kata Dr Mahathir


Strategi pembangkang untuk menentang di peringkat jawatankuasa tidak akan memberi kesan besar ke atas kerajaan PN, kata Dr Mahathir Mohamad.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2020.

TINDAKAN pembangkang membiarkan Belanjawan 2021 lulus di peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam membuktikan mereka mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata strategi pembangkang untuk menentang di peringkat jawatankuasa tidak akan memberi kesan besar terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Ianya hanya usaha untuk mengalih pandangan dan kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang,” kata Dr Mahathir menerusi blognya hari ini.

Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar melalui undian suara semalam.

Hanya 13 ahli Parlimen pembangkang termasuk Dr Mahathir bangun memohon undian dibuat secara belah bahagi. Usul undi belah bahagi memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan Muhyiddin bukanlah diplilih oleh rakyat.

“Manipulasi dilakukan untuk merampas kuasa daripada kerajaan pilihan rakyat.

“Tidak cukup di peringkat Pusat, kerajaan negeri Sabah yang jelas dipilih rakyat juga dirampas dengan memaksa pilihan raya negeri diadakan,” katanya, sambil menambah kerajaan terpaksa memberi habuan untuk meraih sokongan ahli Parlimen supaya kekal berkuasa.

“Pada perbahasan Belanjawan 2021 semalam, kita dapati bukan sahaja parti Kerajaan yang sokong, tetapi sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang menyokong.

“Ini aneh. Selama kerajaan Tan Sri Muhyiddin tertubuh, pihak pembangkang berusaha untuk menjatuhkannya dengan undi tak percaya di Parlimen.”

Ini kerana tidak kurang  25 usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin telah dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat.

“Apabila belanjawan dibentang, pembangkang bersuara kononnya akan menolak. Ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum untuk nyatakan tentangan mereka.

“Tetapi ini tidak berlaku. Bila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 ahli pembangkang yang berdiri, dua kurang daripada jumlah yang diperlukan. Maka belanjawan dilulus dengan lebihan suara,” jelas beliau.

Kata ahli Parlimen Langkawi itu lagi, beliau percaya kerajaan menawarkan habuan kepada pembangkang untuk mendapat sokongan. 

“Jika benar bermakna rasuah sudah sampai tahap yang amat merbahaya kepada negara. Segala-gala boleh dibeli dengan duit, termasuk Kerajaan.

“Kerajaan pilihan rakyat boleh dibeli dan dijatuh kerana wakil yang dipilih oleh rakyat sanggup terima sogokan seperti yang kita lihat berlaku di Sabah. Kerajaan yang tidak dipilih rakyat boleh rampas kuasa dan terus memerintah negeri dan negara.”

Ahli Parlimen pembangkang katanya sanggup berkrompomi dan menolak prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri.

“Saya dan kumpulan Pejuang akan terus tolak belanjawan ini. Ini kerana kami tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang kepada negara di dalam usaha tangani masalah ekonomi yang merudum akibat Covid-19.

“Tidak ada apa-apa rancangan untuk pulih dan kembangkan ekonomi serta bantu perniagaan yang terjejas teruk,” kata Dr Mahathir.

Beliau menegaskan kerajaan yang menagih populariti dengan sogokan untuk kekal berkuasa tiada beza dengan kerajaan kleptokrat yang ditumbangkan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

“Mereka hanya akan hancurkan negara ini.” – 27 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen