Lulus belanjawan peringkat dasar strategi Pakatan, kata Wong Chen


Ahli Parlimen Subang Wong Chen ahli Parlimen tidak tahu apa yang sedang berlaku dan menganggap itu merupakan langkah taktikal oleh kepimpinan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

INI adalah langkah taktikal oleh kepemimpinan Pakatan Harapan bagi membolehkan bacaan kedua peringkat dasar Belanjawan 2021 lulus di Parlimen, kata Ahli Parlimen Subang Wong Chen.

Beliau berkata, selepas ucapan penutup Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ahli Parlimen PH menerima mesej daripada Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk tidak menyokong usul undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 

“Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku dan kami anggap itu adalah langkah taktikal oleh kepimpinan PH.

“Perkara ini diberitahu kepada kami selepas undi selesai di mana pemimpin PH berkumpul dan mengadakan perbincangan panjang mengenai apa yang perlu kami lakukan selanjutnya,” kata ahli Parlimen PKR itu di Facebook hari ini. 

Belanjawan 2021 diluluskan bagi peringkat dasar melalui undian suara di Dewan Rakyat selepas pihak pembangkang gagal memaksa undian dibuat secara belah bahagi.

Walaupun sudah diluluskan pada peringkat dasar hari ini, ia masih perlu melepasi perbahasan dan pengundian peruntukan untuk setiap kementerian pada Isnin ini.

Dalam ucapan penggulungannya hari ini Tengku Zafrul mengumumkan beberapa perubahan yang akan dibuat pada Belanjawan yang akan menguntungkan lebih ramai pekerja barisan hadapan dan kumpulan luar bandar.

Wong berkata kepimpinan PH mahu Belanjawan 2021 lulus di peringkat dasar agar ahli Parlimen dapat meneliti setiap cadangan yang dibuat.

“Kemudian kita dapat bertanya setiap kementerian dan membuat undian.

“Kita tidak lulus ini (hari ini) tetapi akan ada peluang kedua untuk kalahkan kerajaan pada 17 Disember,” katanya.

Beliau berkata semua mata kini tertumpu pada Belanjawan di peringkat jawatankuasa untuk melihat perincian dan perubahan yang dicadangkan.

“Saya harap rakyat akan memahami perkara ini kerana saya percaya bahawa sama ada langkah taktikal ini salah atau benar, akan ada peluang kedua,” katanya.

Hanya 13 ahli Parlimen yang berdiri menyokong usul undian belah bahagi iaitu empat ahli parlimen bebas dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diketuai Dr Mahathir Mohamad. Tiga lagi ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading)

Mereka disertai enam dari Amanah iaitu Khalid Samad (Shah Alam), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), Mohd Hatta Ramli (Lumut), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Hasanuddin Yunus (Hulu Langat) dan Mahfuz.

Seorang ahli Parlimen DAP juga menyokong undi belah bahagi iaitu Mordi Bimol (Mas Gading), serta Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-PKR) dan Baru Bian (Selangau-PSB)

Antara perubahan yang diumumkan Tengku Zafrul ialah program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperluaskan kepada 8 juta pencarum dan membenarkan pengeluaran wang RM10,000 dan bukannya RM6,000 dalam tempoh 12 bulan.

Moratorium pembayaran pinjaman bank juga akan diteruskan untuk perusahaan kecil dan sederhana, golongan B40 serta M40.

Bantuan sekali gus RM300 juga diberikan kepada petugas barisan hadapan lain seperti polis dan tentera di mana sebelum ini hanya bantuan RM500 diberikan untuk petugas kesihatan.

Tengku Zafrul juga berkata Sabah akan menerima bantuan tambahan RM50 juta bagi melawan wabak Covid-19.

Sementara itu peruntukan kontroversi RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) juga akan dipotong walaupun tidak dinyatakan berapa jumlahnya. – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen