Siasatan PAC jumpa ‘amalan luar biasa’ dalam sistem pekerja asing diurus kerajaan


Sistem permohonan dan pengambilan pekerja asing diuruskan dua kementerian utama didapati banyak kelemahan yang boleh menjejaskan keselamatan negara, lapor PAC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

BANYAK kepincangan sistem pengambilan pekerja asing diuruskan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia termasuklah kecurian identiti pengguna sistem untuk mewujudkan kuota palsu, lapor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak 20 laporan polis pula telah dibuat sejak 2017 tetapi masih tiada tindakan diambil.

“Insiden di mana sistem begitu mudah boleh dicerobohi menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem keselamatan sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara,” kata Wong.

Hasil siasatan itu didedahkan hari ini melalui laporan “Aktiviti Pengawalan Terhadap Pekerja Asing di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia”.

Laporan mendedahkan pelbagai aktiviti meragukan yang sebelum ini turut dibangkitkan dalam laporan Jabatan Audit Negara Siri 1 2018.

Jawatankuasa Parlimen terdiri daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu juga mendedahkan kelulusan “permohonan khas” lebih tinggi berbanding permohonan biasa.

Wong berkata “amalan tidak sihat” itu menyebabkan matlamat proses permohonan pengambilan pekerja asing yang sepatutnya menyediakan saringan ketat kelayakan tidak dapat dipenuhi. 

Selain itu, PAC juga mendapati kelemahan integrasi sistem menyebabkan perkongsian data rentas agensi tidak dapat dilakukan. 

“PAC Parlimen mendapati integrasi yang tidak menyeluruh antara sistem ePPAx dan MyIMMs telah menyebabkan data dan dokumen permohonan kuota pekerja asing tidak dapat dikongsi sepenuhnya.

“PAC Parlimen mendapati wujudnya peranan ‘pengantara’ yang jelas membelakangi sistem sedia ada,” tambah Wong lagi.

Jawatankuasa Parlimen itu turut mendapati terdapat kelulusan “permohonan khas”diberikan melibatkan kuota pekerja asing dalam sub-sektor pekerjaan dibekukan yang menjejaskan peluang pekerjaan kepada pekerja Malaysia.

“PAC Parlimen mendapati wujudnya kelemahan sistem yang menyebabkan PLKS (pas lawatan kerja sementara) dikeluarkan kepada pekerja yang gagal pemeriksaan Fomema (pemeriksaan perubatan pekerja asing) ,” kata Wong lagi.

Selain itu, siasatan juga mendapati tidak wujud rekod mengenai pekerja asing yang dihantar pulang kerana gagal saringan Fomema.

“Perkara ini akan mengakibatkan terdapatnya risiko penularan penyakit berjangkit kepada penduduk tempatan.”

Disebabkan kelemahan “amalan luar biasa” ini, Wong berkata, KDN dan KSM perlu mewujudkan sistem berintegrasi dalam pengurusan dan pengawalan penggajian pekerja asing yang membolehkan data dikongsi merentas kementerian.

PAC juga mencadangkan penghapusan sistem “pengantara” dan siasatan SPRM dibuat dalam perkara ini.

Selain itu, PAC juga mencadangkan pihak berwajib melakukan rundingan dengan UNHCR bagi menyelesaikan masalah pendaftaran pelarian yang sedang ditahan.

“KDN harus membuat perundingan semula dengan UNHCR bagi penyelesaian pendaftaran tahanan berstatus pelarian di depot imigresen seluruh negara.

“KDN dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mewujudkan satu unit khusus bagi memproses sebarang SOP untuk menangani kemasukan dan kebajikan pelarian di negara kita,” kata Wong. – 24 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen