Syarikat urup dan kirim wang terjejas teruk kerana PKP


Ragananthini Vethasalam

Perkhidmatan pengurupan dan pengiriman wang terjejas teruk kerana penutupan sempadan dan gaji pekerja terjejas kerana PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2020.

LEBIH banyak syarikat pengurupan dan pengiriman wang gulung tikar sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan, kata Presiden Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) Jajakhan Kader Gani.

“Industri pengurupan wang terjejas teruk kerana PKP yang menyebabkan sekatan perjalanan, baik kedatangan pelancong asing ke Malaysia dan rakyat Malaysia yang pergi ke luar negara, serta mereka yang bekerja di Singapura,” kata Jajakhan kepada The Malaysian Insight.

Kenyataannya selari dengan data Bank Negara Malaysia yang menunjukkan setakat 30 Oktober, 147 syarikat berlesen berdaftar dengan Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang 2011 sudah gulung tikar.

Penutupan sempadan dan sekatan perjalanan menyebabkan kejatuhan hampir 80% pendapatan pengurupan wang, tambahnya.

Perniagaan pengiriman wang pula menunjukkan kemerosotan mendadak sehingga 30% disebabkan pemotongan gaji pekerja, pengurangan jam bekerja dan penutupan perniagaan.

Dalam situasi ini, syarikat pengurupan dan pengiriman wang masih perlu menampung kos tetap walaupun pendapatan berkurangan.

“Ketika pendapatan berkurangan, kos tetap seperti sewa dan gaji pekerja masih perlu dibayar, menyebabkan banyak syarikat melaporkan kerugian,” kata Jajakhan.

Ada syarikat yang diberi lesen untuk perkhidmatan pengiriman wang sahaja, ada juga yang mendapat lesen pengurupan dan pengiriman wang.

Bagi terus bernyawa, Jajakhan berkata syarikat pengiriman wang kini sedang berusaha mendapatkan pembiayaan di bawah Kemudahan Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) dan Dana Transformasi Teknologi PKS MDEC bagi menawarkan perkhidmatan pengiriman wang bergerak.

MAMSB juga berharap kerajaan akan menyokong industri itu menerusi geran digitalisasi dan potongan sewa.

Persatuan mempunyai 338 ahli di seluruh negara, sekurang-kurangnya 300 daripada mereka terlibat dalam perkhidmatan pengurupan dan pengiriman wang.

Menurut Isaku Endo, pakar kanan sektor kewangan Kumpulan Bank Dunia, Malaysia mempunyai ramai pekerja asing sehingga menjadi negara pengirim wang ketiga terbesar di rantau ini dengan nilai AS$10.8 bilion, pada 2018.

Malaysia pada 2017 mempunyai 1.8 juta pekerja asing sah.

Pada 2016, industri pengurupan wang merekodkan perolehan mencecah RM73.5 bilion. – 28 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen