Adab pemimpin


SISTEM demokrasi dikatakan akan mencapai kematangan selepas satu kitaran penuh pertukaran kerajaan berlaku. Sedar atau tidak, Malaysia sudah memenuhi kriteria tersebut.

Kita bertukar kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018, dan bertukar daripada kerajaan PH kepada Perikatan Nasional (PN) pada Februari 2020.

Kitaran penuh ini bukan saja mempengaruhi parti-parti politik malah turut mempengaruhi dan memberi kesan kepada rakyat. 

Antara kesan terbesar yang kita dapat lihat pada rakyat adalah kita semakin celik politik, semakin vokal terhadap kepimpinan malah semakin kritikal terhadap kenyataan yang dikeluarkan para pemimpin baik dari aspek politik, korporat malah NGO.

Pemimpin yang populis dan tidak menjaga tutur kata akan dikritik dan dikecam secara terbuka di media sosial. Rakyat sudah tidak lagi angguk-angguk dan geleng-geleng.

Ini dapat dilihat dalam beberapa siri ucapan dan penulisan yang dibuat oleh beberapa pemimpin.

Contohnya, Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi yang menyebut peristiwa serangan di Lahad Datu adalah sandiwara ketika kempen pilihan raya negeri Sabah, menerima kecaman hebat di media sosial. 

Begitu juga kenyataan populis Timbalan Menteri Wan Ahmad Fayhsal yang menyeru Bank Negara Malaysia supaya mencetak lebih banyak duit buat rakyat.

Hari ini pula Arshad Raji, pemimpin NGO veteran Patriot menerima kecaman akibat kenyataan yang memperkecilkan masalah penjualan arak yang dibandingkan dengan perbuatan rasuah.

Pemimpin korporat juga tidak terlepas dari kecaman ini. Contoh terdekat yang kita boleh lihat ialah Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur, Megat Shahriman yang digantung 18 bulan daripada sebarang aktiviti hoki berkuat kuasa serta-merta kerana isu wang penajaan.

Beliau juga presiden Majlis Paralimpik Malaysia dan ahli lembaga Mara. 

Patutkah pemimpin terpalit tuduhan sebegini menerajui badan-badan penting negara?

Kesemuanya mendapat kecaman teruk rakyat marhaen dari segala lapisan masyarakat di sosial media. Kematangan politik dipersoalkan.

Jelas hari ini, rakyat lebih prihatin. Rakyat menolak ketua atau pemimpin yang tidak menjaga adab dan kata-kata, atau tata tertib menggunakan jawatan sebagai batu loncatan untuk diligat hebat di kancah politik. 

Tindakan sebegini rata-rata menunjukkan kurang kematangan menjaga persepsi oleh aspiring Malay leaders.

Tidak kurang juga pemimpin yang memperlekehkan adat berkata benar – dari segi sijil akademik, amanah kerja, dan macam-macam lagi.

Adab itu cermin budaya. Pemimpin yang membelakangkan adab tidak mungkin dapat membangunkan bangsa.

Apatah lagi pemimpin bertaraf negara; buruk padahnya apabila tidak mencerminkan aspirasi adat dan adab Melayu, mereka sama sekali tidak patut mewakili Teraju, Mara, PNB atau mana-mana badan yang menjaga kepentingan Melayu.

Pepatah Melayu tentang ciri-ciri seorang yang dinamakan ketua amat jelas:

Yang dikemukakan oleh rakyatnya

Yang dimuliakan oleh kaumnya

Yang didudukkan pada patutnya

Yang ditegakkan pada layaknya

Yang dikukuhkan dengan adatnya

Yang ditinggikan dari orang banyak

Yang didahulukan dari orang ramai

Yang diutamakan dari orang biasa

Sesuai menurut adat lembaga

Dan pantang larangnya pula amat khusus dalam pepatah Melayu:

Adat terhadap yang dituakan,

Pertama pantang berbalik belakang

Kedua pantang bercakap temberang

Ketiga pantang dikebelakangkan

Keempat pantang direndahkan

Kelima pantang disia-siakan

Keenam pantang dipermainkan

Ketujuh pantang dipermalukan

Kelapan pantang dilangkahkan

Cukuplah kita dipersenda kerana ketua yang terpilih tidak menunjukkan kualiti yang terunggul. Tercontoh. Termulia.

Berbalik kepada  isu pemimpin kita hari ini, eloklah jika Wan Ahmad Fayshal lebih fokus pada isu membangkitkan sukan dan golongan belia. Sudah ada yang ditugaskan menjaga hal ehwal kewangan negara. 

Diharap Megat Shahriman tidak jadikan kesemua badan sukan yang diketuai batu loncatan seperti yang digemburkan netizen.

Sukan ini amat penting untuk memberi semangat dan kebanggaan negara. Arshad pula, janganlah political leanings memberikan pandangan ‘knee jerk reaction’.

Semoga badan-badan yang menjaga hal ehwal pucuk kepimpinan dunia Melayu lebih prihatin dan bertindak tegas dengan tokoh-tokoh yang mewakili masyarakat kita.

Pemimpin yang kita pilih adalah cermin masyarakat hari ini.

Jika mereka itu intan, intanlah kita. Jika arang, aranglah kita. – 24 November, 2020.

* Jamalee Bashah, presiden Persatuan Patriots Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen