Teladan gerakan ‘pelajar jahat’ Thailand


RIBUAN pelajar Thai berkumpul menentang pemerintah pada 21 November 2020 adalah suasana berbeza jika dibandingkan dengan pelajar negara kita.

Turut dikongsikan bagaimana “pelajar jahat” menunjukkan rasa ketidakpuasan hati mereka dengan menyertai satu perhimpunan di ibu negara Thailand bagi menuntut reformasi pendidikan serta peletakan jawatan perdana menterinya selain mengekang sistem pemerintahan monarki.

Sungguh pun ketua pelajar sudah ditangkap namun mereka masih bersama berkumpul meminta kebebasan yang diambil dan juga pembaharuan dalam pendidikan.

Di sini kita seharusnya kita boleh melihat persamaan yang dimiliki oleh sekumpulan pelajar, pelakon dan ahli politik.

Setiap orang ingin menyatakan pendapat, tetapi kemudiannya akan diancam dengan tuduhan menghasut terutama jika pandangan dan komen mereka mengenai kerajaan, pemimpin dan institusi diraja.

Sekiranya pelajar terutama dari institusi pengajian tinggi, yang suatu hari boleh menjadi pemimpin nasional, tidak dibenarkan untuk membincangkan, membedah siasat dan menganalisis hujah-hujah yang mereka kemukakan untuk menyokong pandangan mereka, maka mengapa kita bersusah payah memiliki institusi pengajian tinggi?

Saya juga teringat akan bekas pelajar saya yang pernah cuba untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka terutama mengenai “kepimpinan pentadbiran dan pelajar.”

Mereka bukan sahaja disenarai hitamkan bahkan dihalang untuk “bersuara” dan turut di kenakan tindakan. Ini baru mengenai isu yang kecil.

Daripada memuji inisiatif pelajar dalam mempromosikan perbincangan akademik mengenai topik penting, mereka sebaliknya digertak dan diancam dan anggotanya dituduh melakukan pengkhianatan dan menjadi anggota yang tidak bertanggungjawab.

Sungguh pun dalam nada “retorik”, pihak pentadbiran pengajian mengatakan bahawa mereka akan menjalankan siasatan terhadap pelajar terlibat dan akan berusaha untuk situasi “menang-menang” namun ketidakbijaksanaan lebih menyerlah.

Institusi pengajian tinggi seharusnya mendorong wacana cerdas. Pelajar mempunyai akal lebih tinggi daripada sanggup melakukan provokasi, hasutan atau bertindak tidak wajar.

Mereka hanya dimaklumkan dengan kebebasan berekspresi yang dijamin di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan juga dinyatakan dalam Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) atau Akta 174 turut diselitkan.

Mengapa sebuah negara mencegah warganya mengomentari isu-isu yang mempengaruhi kehidupan mereka, dan reputasi negara mereka?

Mengapa pihak berkuasa Malaysia memberi reaksi berlebihan terhadap pemerhatian yang sah ini? Adakah kita sebuah pulau, terasing dari peradaban?

Di sekolah, murid yang berani menyoal guru biasanya akan dihukum atau dihina di hadapan kelas. Apabila murid menjadi dewasa, guru zalim mungkin menjadi satu-satunya panutan untuk bertindak di khalayak ramai.

Di rumah, anak yang berani menjawab ibu bapa dan penjaga yang lebih tua mungkin dimarahi, jadi dia belajar untuk berdiam diri, walaupun dia melihat sesuatu yang salah.

Apabila mereka dewasa, dia akan belajar bahawa untuk bersuara akan mengundang kemarahan. Dia telah belajar tingkah laku yang buruk dari keibubapaan dan persekolahan yang buruk.

Kanak-kanak itu tidak dibenarkan dicabar oleh wacana secara intelektual. Apabila meningkat dewasa, dia mungkin memberikan perlakuan yang sama seperti yang dia terima di sekolah, atau di rumah, ketika dia tidak setuju dengan orang yang bertentangan dengannya.

Hari ini, wartawan, kolumnis dan kartunis yang bertanggungjawab menghadapi rintangan yang sama dengan “mereka ini”, yang telah diancam dengan tuduhan menghasut. Mereka ingin menyebarkan mesej mereka, tetapi penapisan editorial akan mencairkan mesej mereka, atau menghapusnya sama sekali.

Apabila penerbit media akhbar mencapai liga besar, badan korporat dan pengiklan mencekik leher editor dan memaksa lukisan atau artikel itu ditarik.

Sekiranya diterbitkan, pemantau pemerintah dan fanatik yang ditaja oleh negara (cybertroopers) adalah halangan seterusnya. Banyak media akhbar terpaksa menapis sebelum sampai ke tahap ini.

Kini ramai di antara kita disumpah kerana golongan fanatik tidak bersetuju dengan pandangan kita. Pihak berkuasa menggunakan kekuatan hasutan untuk menghentikan warga negara daripada melakukan perbincangan yang matang dan cerdas mengenai isu-isu utama yang mempengaruhi kehidupan kita.

Ancaman tuduhan hasutan adalah cara pengecut untuk mengawal dan memanipulasi tingkah laku awam. Itu adalah tanda yang tidak selamat.

Berapa lama lagi sebelum negara dan ejennya mengecam orang yang tidak bersetuju dengan mereka mengenai isu kecil? – 23 November, 2020.

*Azizi Ahmad, pembaca The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen