Kelantan mungkin berdepan lonjakan kes Covid-19 seperti di Sabah, kata pakar


Kelantan mungkin menjadi seperti Sabah yang berdepan lonjakan kes Covid-19 sekiranya langkah-langkah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) tidak dikuatkuasakan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2020.

SEORANG ahli virologi memberi amaran bahawa jangkitan Covid-19 mungkin tidak akan berakhir di Kelantan kecuali langkah-langkah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) dikuatkuasakan dengan segera.

Bercakap kepada New Sunday Times, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya (Tidrec) Profesor Dr Sazaly Abu Bakar memberi amaran bahawa Kelantan mungkin menjadi seperti Sabah yang berdepan lonjakan kes Covid-19.

Sazaly berkata agak membimbangkan apabila jangkitan berlaku dengan cepat di Kelantan terutama dari kluster Mengketil yang mencatatkan 41 kes dalam masa lima hari. 

“Jika jumlahnya terus meningkat, tidak ada pilihan lain selain menguatkuaskaan PKPD di daerah-daerah yang terjejas.

“Kami tidak mahu Kelantan menjadi seperti Sabah yang juga mencatat jumlah kematian yang tinggi,” katanya seperti yang dipetik dalam New Sunday Times.

Majlis Keselamatan Negara telah meletakkan Kelantan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 21 November hingga 6 Disember berikutan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di negeri berkenaan.

Negeri ini kekal sebagai zon hijau untuk waktu yang lama dan merupakan salah satu dari tiga negeri yang tidak ditempatkan di bawah PKPB ketika negara menguatkuasakannya di negeri lain pada 14 Oktober lalu.

Kes-kes baharu di Kelantan dikaitkan dengan mereka yang pulang ke kampung dari kawasan yang sudah berada di bawah PKPB.

Sehingga semalam terdapat 271 jangkitan di Kelantan dengan tiga kematian.

Daripada jumlah tersebut 181 sudah pulih meninggalkan 87 kes aktif yang lain.

Terdapat tujuh kes baru dilaporkan semalam dan tujuh kes pada hari sebelumnya.

Ibu negeri Kota Bharu kekal sebagai zon merah dengan 129 kes, 33 daripadanya adalah kes aktif.

Dua daerah lain – Machang dan Tanah Merah juga berada dalam tahap kritikal dengan 26 dan 13 kes aktif sehingga semalam.

Sabah menjadi kawasan panas jangkitan Covid-19 pada gelombang ketiga sejak akhir eptember dengan 25,441 kes dengan 6,159 kes aktif dan 186 kematian.

Terdapat 512 kes baru dilaporkan semalam dengan tiga kematian. – 22 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen