Umno bukan Perikatan, boleh undi Belanjawan ikut naluri, kata Khaled Nordin


Ahli Parlimen sepatutnya mengundi mengikut naluri mereka atas kepentingan rakyat, dan bukannya kepentingan parti, jelas Khaled. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2020.

Tiada desakan untuk Ahli Parlimen Umno mengundi Belanjawan 2021 minggu depan mengikut garis sokongan kerajaan kerana Umno bukan sebahagian daripada Perikatan Nasional, kata naib presidennya Mohd Khaled Nordin.

Ahli Parlimen sepatutnya mengundi mengikut naluri mereka atas kepentingan rakyat, dan bukannya kepentingan parti, jelas beliau.

“Setiap Ahli Parlimen mesti mengambil keputusan yang dirasakan terbaik demi kemaslahatan negara, bukan kepentingan parti semata-mata. Apalagi dalam keadaan di mana Umno bukan sebahagian dari PN.

“Oleh kerana Kerajaan PN dibentuk atas dasar sokongan Ahli Parlimen dan bukannya kerjasama partisan yang formal, teratur dan kemas, maka kenapa perlunya desakan untuk mengundi en bloc?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khaled berpendapat semua ahli Parlimen boleh mengundi secara bebas demi kepentingan rakyat yang memilih mereka sebagai wakil ke dewan perundangan negara.

“Atas dasar itu, saya percaya bahawa setiap Ahli Parlimen perlu diberi kebebasan dan ruang untuk membuat pilihan dan mengundi secara peribadi berdasar ‘conscience’ dalam menyokong, berkecuali atau menolak Belanjawan 2021,” katanya.

Belanjawan 2021 yang dibentang pada 6 November dan dibahaskan di Dewan Rakyat sejak dua minggu lalu dijadual diundi pada Khamis (26 November) ini.

Khaled adalah pemimpin kanan Umno kedua yang melontarkan pandangan seperti ini secara terbuka. 

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah dalam wawancara dengan The Malaysian Insight minggu lalu juga berkata ahli Parlimen seharusnya mengundi mengikut naluri dan bukannya mengikut kehendak parti.

Menurut Khaled, sebagai benteng demokrasi yang terpenting, segala perkara yang diputuskan oleh Ahli Parlimen mesti mengutamakan rakyat, dan bukannya parti mereka.

Katanya, ahli Parlimen boleh berbeza pendirian daripada partinya sendiri atau blok yang disokongnya jika mereka yakin Belanjawan 2021 yang akan diundi minggu depan tidak menepati keperluan rakyat.

“Berbeza pendirian bukan pengkhianatan tetapi menurut tanpa akal adalah sebesar-besar khianat. 

“Rakyat tidak memilih seorang Ahli Parlimen untuk menjadi wakil yang terpisah dari denyut nadi pemilih mereka,” katanya, yang juga bekas Ahli Parlimen lima penggal.

Khaled gagal mempertahankan kerusi Pasir Gudang pada pilihan raya umum lalu apabila kalah kepada calon PKR Hassan Abdul Karim, yang juga pengerusi PKR Johor.

Jelas Khaled, Belanjawan 2021 mempunyai banyak kebaikan tetapi masih boleh diperbaiki.

“Insyallah jika ia dilakukan, Ahli Parlimen akan menggunakan nurani baik mereka untuk
mengundi dengan demokratik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

BN mempunyai 43 ahli Parlimen, dengan 39 daripadanya dari Umno. MCA mempunyai dua wakil sementara MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masing-masing seorang.

Pengundian Belanjawan 2021 akan berlangsung ketika kerajaan Muhyiddin Yassin yang mempunyai sokongan tipis di Dewan Rakyat dengan kelebihan tiga kerusi.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang lain sebelum ini menegaskan tidak akan menyokong Belanjawan 2021 sekiranya tidak dibuat beberapa pindaan yang akan lebih mencerminkan sifatnya sebagai belanjawan untuk memerangi Covid-19.

Pengerusi Kelab Penyokong BN Najib Razak juga menyatakan sokongan terhadap Belanjawan 2021 bersyarat. – 21 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen