Menjiwai reformasi demi masa depan 


SEBAHAGIAN intipati Deklarasi Permatang Pauh pada 12 September 1998 telah diungkapkan berdasarkan ayat dari kitab suci Al-Quran yang bererti “tidaklah aku mahu selain daripada melakukan islah (reformasi) sekuat daya dan upaya aku.“

Perjuangan yang bukan sahaja melibatkan air mata darah tertumpah, ia juga tidak hanya berbicara soal pancaran hati nurani dan kesedaran manusia yang dizalimi, tetapi ianya soal bagaimana keadilan dan kebenaran itu mahu ditegakkan.

Jurang antara golongan miskin dan kaya terus dibiarkan melebar, adakah itu merdeka?

Rasuah, kepincangan dan kebobrokan dalam aspek tatakelola dan pengurusan terus berlaku, adakah itu merdeka?

Rakyat masih menghina atau menghukum sesama sendiri atas dasar perbezaan warna kulit, adakah itu merdeka?

Ia bukan hanya semata-mata sekadar slogan dan laungan, namun kemerdekaan adalah janji atau tekad yang berbicara soal kebebasan dan keadilan kepada semua kaum tanpa melihat warna kulit dan menolak sebarang unsur diskriminasi.

Anwar Ibrahim telah memimpin gerakan reformasi dari tahun 1998 dengan pendirian serta hala tuju yang jelas.

Strategi yang merupakan elemen penting di dalam sesebuah peperangan telah disusun dengan rapi berdasarkan perubahan peredaran zaman deman perkembangan arus pemodenan masa sehingga menyebabkan tertumbangnya pemerintah yang berusia 60 tahun.

Meskipun dirinya terperangkap di sebalik jeriji besi yang dilitupi dinding batu bata.

Gelombang kebangkitan Asia telah menetapkan dasar alternatif yang merakyatkan serta gerak kerja yang utuh untuk menentang segala jenis bentuk rasuah, penyelewengan, pembodohan umat dan penindasan ke atas rakyat dalam apa keadaan mahupun apa jua posisi yang diamanahkan.

Negara ini sudah tiba masanya memilih batang tubuh yang mempunyai kerangka pemikiran yang jelas dan berkredibiliti serta keyakinan yang jitu dan tekad politik yang benar-benar menjiwai kesusahan rakyat di bawah untuk melaksanakan perubahan dengan sedaya upaya demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya.

Wawasan negara ini perlu dicorakkan dengan melaksanakan reformasi yang didambakan rakyat terbanyak. Ia mampu mengemudi satu pasukan kebangkitan atau nahdah peradaban yang bermula dari Malaysia dan terus disebarkan ke seluruh pelusuk dunia.

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa, bahasa dan agama.

Kita perlu melihat perbezaan warna kulit, bangsa dan budaya itu sebagai satu kelebihan sekaligus kita dapat berkongsi kepelbagaian tersebut supaya semangat setiakawan dan keharmonian dapat dipupuk dari masa ke semasa. – 18 November, 2020.

* Ramanan Ramakrishnan, timbalan pengarah strategi PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen