Lanjutkan moratorium, keadaan rakyat perlu ‘dirawat’ segera


REALITI kehidupan manusia sentiasa memerlukan wang untuk mendapatkan sesuatu dengan cara membelinya.

Sebagaimana kata orang, “no money, no talk” amat sesuai dikaitkan dengan situasi yang terpaksa didepani majoriti rakyat Malaysia kini, apalagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan kerajaan sekarang ini.

Pandemik Covid-19 yang melanda tentunya tiada siapa yang meminta dan menginginkannya. Sebagai seorang Islam, kita perlu percaya bahawa itu adalah ketentuan Allah seperti yang termaktub dalam Rukun Iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar.

Setiap musibah yang menimpa itu adalah ujian untuk hamba-Nya, agar tetap meyakini bahawa segala yang terjadi adalah atas kehendak-Nya. Siapa pun kita, tidak dapat menafikannya.

Melihat situasi semasa masyarakat yang seakan tersepit dan terhimpit dengan keadaan yang melanda, sewajarnya pihak kerajaan dan institusi yang berkenaan berusaha mencari solusi serta berusaha menangani isu yang terjadi.

Antara yang amat ketara kini ialah masalah kewangan atau dengan kata lain, kewangan yang sangat terhad dalam sesebuah keluarga.

Banyak perkara menyebabkan situasi itu berlaku dalam keadaan tempoh PKPB ini, antaranya sumber pendapatan yang telah dipotong majikan, kehilangan pekerjaan, hilang sumber pendapatan dan beberapa sebab lain.

Tentunya disebabkan keadaan itu, akan timbul permasalahan lain. Sebelum berlarutan dengan lebih drastik, sewajarnya perlu ditangani segera. Kesan yang tidak sihat (negatif) kepada keluarga, masyarakat dan persekitaran, tentunya tiada siapa duga atau sangka.

Solusi terbaikyang boleh dilaksanakan kerajaan dan pihak yang sepatutnya ialah melaksanakan kembali moratorium agar sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat.

Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas berkata: “Anda akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan. Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.”

Sekalung perhargaan, kita sebagai rakyat Malaysia untuk kerajaan kerana meneruskan moratorium selama enam bulan yang berakhir pada September lalu, ia sedikit sebanyak membantu mereka yang sangat memerlukan.

Berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak Oktober, kerajaan melaksanakan PKPB semula di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember.

Perkara yang tidak disangka berulang lagi, PKPB. Situasi masyarakat yang seakan ‘telah memulakan kehidupan baru’ sebelum ini, terpaksa mendepani semula keadaan sebagaimana sebelum ini.

Sebagaimana kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong pada 27 Julai lalu, langkah untuk tidak meneruskan moratorium secara automatik selama enam bulan lagi dilihat sebagai usaha untuk melindungi bank, bukannya menyelamatkan rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata institusi perbankan berkemungkinan besar mengalami kerugian bernilai RM79 bilion dari segi kapasiti untuk memberi pinjaman atau dikenali ‘kerugian pengubahsuaian’ sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium enam bulan pada April sehingga September.

“Ini adalah jumlah yang boleh dipinjamkan bank-bank terbabit kepada individu dan peniaga dalam keadaan perniagaan biasa bagi tempoh April hingga September itu.”

Menurutnya, bagi tempoh enam bulan moratorium yang diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion, yang bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 billion, sama ada kepada rakyat atau peminjam.

Tentunya ia sesuatu yang mencabar untuk direalisasikan jika dipandang dari aspek perbankan walaupun hakikatnya kerajaan perlu berusaha untuk mengembalikan kehidupan rakyat agar lebih sejahtera.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata moratorium masih menjadi kaedah terbaik untuk memberi keselesaan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik tersebut.

“Lanjutan moratorium sememangnya perlu dilakukan untuk tempoh enam bulan akan datang iaitu sehingga suku pertama 2021, namun secara bersasar kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).”

Penghujung Mac lalu, Bank Negara Malaysia mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020 di bawah Pakej Rangsangan Eko­nomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Penganalisis Ekonomi DM-Analytic Sdn Bhd Zouhair Rosli berkata segala bentuk bantuan perlu diteruskan sehingga Disember ini, seperti yang diamalkan di beberapa negara lain. Ini kerana segala pemulihan hanya dapat dilihat pada tahun hadapan, dengan kebanyakan analisis ekonomi membayangkan tahun ini bakal menjadi ‘detik hitam’ kepada kedudukan ekonomi.

Ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Tengku Zafrul mengumumkan lanjutan moratorium bersasar yang dibuat sejak Oktober.

Pengumuman itu hanya mengambil kira kesusahan golongan bawahan dan sebahagian kumpulan berpendapatan sederhana. Realitinya, masalah ketidakmampuan membayar semula ansuran pinjaman bukan terhad kepada rakyat berpendapatan rendah tetapi juga rakyat berpendapatan sederhana dan tinggi.

Berbanding dengan beberapa kaedah lain, lanjutan moratorium sebenarnya bukan sahaja memberi situasi menang-menang kepada institusi kewangan dan rakyat, tetapi juga akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang.

Namun, pelaksanaan moratorium memerlukan penilaian semula dari aspek kaedah pelaksanaan bagi memastikan semua rakyat yang terjejas berhak mendapat bantuan atau penangguhan pembayaran pinjaman. Dan tidak terkecuali, rakyat Malaysia juga perlu mengurus kewangan yang ada dengan sebaiknya.

Selain itu, perlu dikaji semula adakah dengan pelaksanaan moratorium bersasar dapat membantu rakyat? Ini kerana, masih ramai lagi yang tidak tahu dan tidak mendapat manfaatnya, tidak seperti semasa dilaksanakan secara automatik.

Bukanlah ini hanya satu-satunya sebagai solusi merawat situasi yang dihadapi rakyat, tetapi secara mudahnya dengan melanjutkan moratorium ini, mereka sedikit sebanyak akan dapat manfaatnya di samping dapat menangani masalah yang dialami.

Semoga luahan peringkat bawahan iaitu rakyat terus didengari dan diambil peduli oleh pemimpin negara bagi menangani pelbagai masalah yang sedang dihadapi.

Setiap permasalahan tentu ada jalan keluarnya sebagaimana lirik lagu Maher Zain, “Insya-Allah… Insya-Allah… Insya-Allah… Ada  jalannya.” – 17 November, 2020.  

* Atriza Umar, Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan Ikram Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen