Kepentingan Jawatankuasa Khas Parlimen analisis belanjawan


BELANJAWAN 2021 mendapat kritikan dan teguran daripada pakar ekonomi, badan pemikir, pemain industri  dan ahli parlimen dengan menyifatkan ia sebuah belanjawan yang masih boleh ditambah baik dan tidak mampu menyelesaikan krisis Covid-19 di Malaysia dalam jangka masa panjang. 

Badan pemikir Research for Social Advancement (REFSA) melihat Belanjawan 2021 boleh ditambah baik dalam menyediakan belanjawan besar untuk mencipta aktiviti ekonomi berdaya saing seperti menambah dasar mencipta pekerjaan.

Belanjawan ini juga tidak memberi dana yang meyakinkan sebagai pelaburan kepada industri baharu seperti ekonomi hijau  untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Profesor Jomo Kwame Sundram, ahli ekonomi menyatakan Belanjawan 2021 perlu lebih menekankan aspek perbelanjaan untuk menampung risiko krisis Covid-19. Beliau turut membangkitkan kebimbangan tentang tadbir urus Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang  diberikan peruntukan penting mengendalikan program di dalam Belanjawan 2021 berdasarkan akauntibiliti tadbir urus dan prestasi GLC yang tidak memberangsangkan kebelakangan ini. 

Ahli Parlimen juga lantang menyuarakan keperluan kerajaan untuk meneliti dan meminda Belanjawan 2021 apabila terdapat beberapa peruntukan politik seperti penubuhan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang menerima dana yang agak besar dan ia sepatutnya diagihkan kepada pelaburan industri dan bantuan kebajikan rakyat mahupun barisan hadapan. 

Di sudut kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula, Belanjawan 2021 nampak baik dan cemerlang tanpa ada kelemahan. Perkara ini tentunya menimbulkan kekeliruan kepada rakyat mengenai analisis baik dan lemah sesuatu belanjawan kerana ia masih ditahap perbandingan menggunakan kanta “politik” antara parti pemerintah dan pembangkang berbanding isu yang menjurus kepada kehidupan rakyat dan dasar ekonomi yang sebenar.

Kebimbangan dan kelompongan analisis Belanjawan 2021 ini sepatutnya diurus oleh kerajaan dengan meneliti teguran tersebut sebagai usaha menambah baik belanjawan demi kepentingan semua pihak.

Namun, tindakan menteri lewangan yang menggunakan kesusahan barisan hadapan dan penjawat awam yang akan terkesan jika Parlimen menolak Belanjawan 2021 untuk menekan ahli Parlimen meluluskan belanjawan bukanlah satu tindakan yang baik dalam proses sistem demokrasi negara.

Jadi, apakah cara yang lebih berkesan untuk menyemak dan meneliti semula Belanjawan 2021 dengan pendekatan yang pragmatik dan terbuka?

Semakan yang lebih menyeluruh cara pragmatik bagi menguruskan masalah ini adalah dengan merujuk perkara ini kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas parlimen yang boleh menyemak, menganalisa dan membuat kajian terhadap kandungan Belanjawan 2021.

Parlimen United Kingdom, Australia dan Kanada mengamalkan sistem ini dalam meneliti belanjawan negara mereka. 

Secara tradisinya, proses ini jarang berlaku di Malaysia memandangkan kerajaan persekutuan selalunya melakukan sesi libat urus pra-belanjawan saja. Proses ini amat merugikan kerana ia memberi ruang kepada kerajaan mengambil mudah dan tidak mempertimbangkan teguran belanjawan negara selepas ia dibentangkan di Parlimen. 

Ini menyebabkan belanjawan tersebut tidak seimbang dan hanya mengambil kepentingan kerajaan tanpa proses semak yang terbuka. 

Perkara yang berlaku pada hari ini berpunca daripada tindakan kerajaan persekutuan yang enggan mempertimbangkan cadangan peneambahbaikkan, tetapi memilih jalan politik mendesak Parlimen meluluskan Belanjawan 2021.

Oleh itu, amalan lama ini harus diubah agar pihak berkepentingan mempunyai hak untuk mencadangkan pindaan selepas belanjawan tersebut dibentangkan di Parlimen.

Terdapat beberapa kepentingan terhadap fungsi JPK bagi mengkaji belanjawan negara. Pertama, ia memberi peluang kepada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk menyiasat dan menyemak setiap butiran belanjawan agar ia benar-benar menepati keperluan ekonomi dan rakyat, tanpa campur tangan jemaah menteri.

Kedua, jawatankuasa ini mempunyai peranan untuk menerima cadangan, pandangan dan maklumbalas pihak berkepentingan, organisasi dan pemain industri untuk menambah baik belanjawan kerajaan. 

Ketiga, jawatankuasa bertanggungjawab mengeluarkan laporan penuh berkenaan belanjawan dan diserahkan kepada ahli Parlimen untuk dibahaskan. Sebelum itu, menteri kewangan perlu memberi maklum balas dan mengambil cadangan laporan JPK tersebut. Jika menteri kewangan menolak cadangan atau gagal memberi maklumbalas, maka Parlimen berhak membahaskan laporan tersebut agar kerajaan menjelaskan pendirian mereka. 

Kini, Parlimen mempunyai JPK Kewangan dan Ekonomi, yang merupakan antara JPK baharu yang diumumkan speaker Dewan Rakyat. Wajar sekiranya JPK Kewangan dan Ekonomi ini diberikan tugas dengan segera bagi membuat semakan yang menyeluruh kepada Belanjawan 2021.

Proses ini boleh berlaku jika kesemua ahli parlimen bersetuju bahawa Belanjawan 2021 ini akan dirujuk kepada JPK Kewangan dan Ekonomi sebelum perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa. Apa yang lebih penting sekarang ialah parlimen perlu melantik anggota JPK Kewangan dan Ekonomi agar ia boleh bertindak segera dalam menganalisis Belanjawan 2021. 

Peluang menambah baik proses belanjawan negara

Apa yang lebih penting, sistem JPK ini adalah pendekatan yang terdekat untuk meneliti belanjawan negara dengan mengambil kira pandangan daripada rakyat sehingga pemain industri. Kaedah menyeluruh ini akan memberi analisis dan sudut pandangan impak belanjawan yang bersifat objektif dan tidak bersadarkan kepada pandangan kerajaan atau menteri kewangan saja.

Namun, perkara ini hanya akan berlaku sekiranya hadir iltizam politik pihak kerajaan dan rakyat untuk benar-benar menyelesaikan kelemahan yang terdapat dalam Belanjawan 2021 secara teratur dan demokratik.

Ini juga satu peluang untuk menambah baik aturan dan proses belanjawan negara yang lebih telus dan bertanggungjawab. Kaedah seperti ini sekurang-kurangnya dapat memberikan penjelasan tuntas kepada rakyat mengenai baik buruk sesuatu belanjawan melangkaui fahaman yang berbeza-beza.

Dalam keadaan sekarang, kerajaan tidak seharusnya memaksa ahli parlimen dan rakyat menerima belanjawan yang terdapat pelbagai kelemahan yang jelas. Belanjawan 2021 bukan medan untuk kerajaan melakukan “perang politik” terhadap mereka yang menegur kelemahan kerajaan. 

Sekiranya, Belanjawan 2021 ini diluluskan tanpa mengatasi kelemahan yang ada, maka ia akan menambahkan lagi beban rakyat dan negara pada masa akan datang.

Justeru, kerajaan perlu berani dan berfikir secara matang bahawa pendekatan menggunakan fungsi JPK dalam mengkaji semula Belanjawan 2021 adalah satu langkah positif dalam membaiki sistem demokrasi berparlimen Malaysia ke arah yang lebih matang dan saksama. – 17 November, 2020.

* Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research For Social Advancement (REFSA).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen