Belanjawan untuk 'perang politik' PM


SUDAH seminggu Belanjawan 2021 dibentangkan dan ia merupakan belanjawan terbesar kerajaan dalam sejarah negara. 

Dilaporkan bahawa belanjawan ini berpaksikan strategi yang lebih ‘berani’ untuk membina semula ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat yang masih terbeban akibat krisis Covid-19. 

Tetapi, belanjawan yang besar ini tidak memberi sebarang jaminan bahawa ekonomi rakyat dan negara akan kembali bangkit dengan jayanya. 

Setelah penelitian dibuat, Belanjawan 2021 ini bukan soal melawan Covid-19. Tetapi, belanjawan kali ini lebih menekankan bantuan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memenangi ‘perang politik’. 

‘Perang politik’ ini adalah cubaan PN untuk menggunakan pelbagai strategi dan percaturan untuk menumbangkan para pengkritik dalam kalangan pemimpin pembangkang dan rakyat yang lantang menyuarakan kegagalan Muhyiddin menguruskan pandemik Covid-19. 

Perbuatan tempang menteri PN yang memandang mudah SOP dan ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang,  telah mengundang kemarahan rakyat yang selama ini patuh kepada peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. 

Pelajar, ibu bapa, pekerja dan majikan turut mengkritik sikap tidak bertanggungjawab kerajaan yang membuat keputusan saat-saat akhir untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan mahupun penutup institusi tanpa mengambil kira kesukaran orang lain.  

Justeru, Belanjawan 2021 hanya dijadikan platform oleh kerajaan melemahkan pengkritik dan menutup kesalahan mereka agar imej politik PN dapat dipulihkan di mata rakyat. 

Tidak perlu lihat terlalu jauh, usaha menghidupkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dibawah Belanjawan 2021 menandakan betapa terdesaknya kerajaan hari ini untuk meraih sokongan rakyat. 

Ini satu jalan pintas buat kerajaan yang lemah apabila menggunakan propaganda politik selepas gagal meyakinkan rakyat tentang dasar ekonomi mereka yang kini kian tunggang-langgang.

Paling membimbangkan apabila Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibawah kelolaan Muhyiddin sendiri menerima peruntukan sebanyak RM 11 bilion, lebih besar jika dibandingkan Belanjawan 2020 yang hanya memperuntukan  peruntukan RM 7 bilion untuk JPM. Dana yang besar ini berpotensi untuk disalah guna perdana menteri demi kepentingan politiknya. 

Sebelum ini, kerajaan Muhyiddin menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen dan pilihan raya. Kemudian, dalam kebimbangan Covid-19, perdana menteri pula menggugat kerajaan Sabah di bawah parti Warisan. 

Bayangkan sahaja apa yang boleh dibuat oleh perdana menteri dengan dana JPM yang begitu besar untuk kepentingan politik dirinya berbanding rakyat?

Meskipun Muhyiddin belum lagi terjebak dengan ketirisan seperti 1MDB, tetapi beliau terbukti telah membuat keputusan berisiko tinggi yang boleh menggugat kestabilan negara. 

Hala tuju yang salah

Hala tuju Belanjawan 2021 ini nampaknya tidak berada di landasan betul. 

Gambaran-gambaran ini memberi jawapan kepada rakyat bahawa belanjawan ini tidak mampu menangani krisis Covid-19, tetapi ia hanya mampu menyokong perdana menteri dan PN untuk menang dalam ‘perang politik’  yang hanya memperjudikan nasib rakyat.  

Tujuan membantu rakyat kini dimanipulasi kerajaan untuk membiayai percaturan politik. Tetapi, sejauh manakah belanjawan sebesar ini  dapat digunakan untuk mengalih sokongan rakyat kepada kerajaan?

Kita harus ingat kembali bagaimana Jasa telah memainkan peranan untuk memastikan rakyat percaya skandal 1MDB itu adalah tidak benar sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Arul Kanda Kandasamy telah menjelajah satu Malaysia untuk menerangkan perkara yang baik-baik mengenai 1MDB.

Segala usaha Jasa dan keparat-keparat 1MDB ini tidak satu pun meyakinkan hati rakyat. Disebabkan kesedaran akan kepincangan Najib Razak dalam tadbir urusnya, rakyat memilih untuk bangkit memilih kerajaan yang lebih terbuka dan berintegriti pada 9 Mei 2018. 

Malangnya, harapan rakyat hanya bertahan 22 bulan sebelum mandat itu dikhianati oleh PN. 

Persoalannya, sejauh manakah Jasa yang dibina oleh PN mampu menjentik pemikiran rakyat bahawa mereka bukan “pengkhianat’ mandat rakyat? Saya beranggapan percaturan mewujudkan Jasa ini akan memakan diri PN sendiri, seperti mana Jasa gagal memastikan Najib  menang dalam PRU14.

Itulah keistimewaan’ rakyat’. Mereka sukar diduga dan penuh dengan kejutan yang boleh menggusarkan pemimpin yang suka menyelahgunakan kuasa demi kepentingan politik tidak berintegriti. 

Tolak belanjawan satu hak demokratik

Rakyat mula melihat kewajaran meminda Belanjawan 2021 yang tidak serius dalam mengatasi krisis Covid-19.  Malangnya, permintaan ini dibalas kerajaan  dengan usaha menakutkan rakyat sekiranya belanjawan ini tidak diluluskan Parlimen. 

Kesusahan barisan hadapan dijadikan perisai buat menteri kewangan mengugut ahli Parlimen untuk meluluskan belanjawan tempang ini.  

Hakikatnya, kerajaan yang menyediakan Belanjawan 2021. Setiap kelemahan belanjawan terletak di bahu kerajaan, bukan Parlimen. 

Sekiranya Belanjawan 2021 ditolak, ia bukan tanda Malaysia dalam keadaan teruk, tetapi ia refleksi kepada kerajaan yang alpa dalam memimpin negara.

Apakah rasionalnya Parlimen meluluskan sebuah belanjawan yang banyak memberi dana bagi menyokong ‘perang politik’ perdana menteri dan tidak mengambil kira kepentingan rakyat? 

Menolak sesebuah belanjawan negara adalah satu hak demokratik dan sah dibawah Perlembagaan Persekutuan. Ugutan menteri kewangan kepada ahli Parlimen untuk memaksa meluluskan Belanjawan 2021 tanpa semak dan imbang adalah satu tindakan tidak demokratik dan lebih bersikap autokratik.  

Sebagai sebuah negara yang membangun, kita perlukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab menyediakan belanjawan yang berkualiti dan menguntungkan rakyat. 

Sekiranya belanjawan tersebut tempang, maka menjadi tugas Parlimen untuk menolak bagi mengelak kemudaratan yang lebih besar.

Itulah demokrasi, ia membuka ruang kepada perbahasan untuk menambah baik sesuatu perkara dalam tadbir urus negara dan bukan memaksa rakyat menerima saranan itu bulat-bulat kerana ia hadir daripada seorang perdana menteri tanpa proses semak dan imbang. – 16 November, 2020.

* Fakhrurrazi Rashid, koordinator penyelidik Research For Social Advancement (REFSA).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen