Semakin ramai pekerja berkelulusan SPM ke atas


PEKERJA berkelulusan di bawah Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional  (SPMV) berkurangan daripada 2.4 juta orang pada 2010 kepada 2.1 juta pada 2015, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan tahunan yang dicatatkan oleh golongan pekerja berkelulusan di bawah SPM dalam tempoh berkenaan ialah 2.8%.

Pekerja berkelulusan SPM, SPMV atau yang setaraf dengannya meningkat daripada 2.9 juta pada 2010 kepada 3.7 juta pada 2015 dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5%.

“Ini mungkin hasil keberkesanan sistem pendidikan negara yang menjadikan jumlah pekerja  berkelulusan di bawah SPM dan SPMV semakin berkurangan sementara lulusan SPM ke atas semakin meningkat,” katanya ketika membentangkan Parameter Banci Ekonomi 2016 iaitu statistik MyState; statistik pekerja, gaji dan upah dan statistik halal di Jabatan Perangkaan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Uzir berkata, kadar pertumbuhan tahunan paling tinggi dicatatkan oleh pekerja berkelulusan diploma, sijil atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) iaitu sebanyak 14.6% daripada 984,000 orang pada 2010 kepada 1.9 juta pekerja pada 2015.

Dalam tempoh yang sama, pekerja berkelulusan ijazah sarjana muda pula merekodkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 9.7% dan meningkat dari 539,000 pada 2010 kepada 857,000 pada 2015.

Dalam pada itu, pekerja berkelulusan pasca siswazah mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 8.5% dengan peningkatan 58,000 pada 2010 kepada 87,000 pada 2015.

Beliau berkata, seramai 8.7 juta pekerja direkodkan bekerja di sektor swasta pada 2015 iaitu peningkatan 4.7% setahun dari 2010.

Menurut beliau, daripada  jumlah keseluruhan 8.7 juta pekerja itu, 5.9 juta atau 67.7% merupakan lelaki manakala 2.8 juta pekerja atau 32.3% adalah wanita.

Katanya, tiga negeri yang mencatatkan bilangan pekerja tertinggi ialah Selangor (2.27 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.4 juta) dan Johor (1.18 juta). – Bernama, 19 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen