Belanjawan 2021: Dilema kerajaan dan pembangkang


BELANJAWAN Malaysia bagi tahun 2021 yang dibentang pada 6 November 2020 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz masih dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat di peringkat dasar. Pengundian di peringkat dasar dijangka akan berlaku pada 25 November.

Belanjawan 2021 ini membawa dilema, tidak sahaja kepada kerajaan Perikataan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tetapi juga kepada blok pembangkang.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim telah berucap membahas Belanjawan 2021. Najib Razak, pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional, juga telah berucap.

Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta Dr Mahathir Mohamad semuanya telah berucap.

Ketua parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk pengerusi Parti Pejuang semuanya telah mengisytiharkan secara terbuka di dalam Dewan Rakyat bahawa mereka hanya akan menyokong Belanjawan 2021 itu sekiranya cadangan dan pindaan yang mereka tuntut diterima oleh kerajaan PN.

Ini dilema yang dialami oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tunduk akur menerima tuntutan dan desakan PH, BN dan Pejuang akan menampakkan kelemahan kerajaan PN pimpinan beliau.

Jika Muhyiddin berkeras enggan meminda belanjawan yang dibentangkan oleh menteri kewangannya itu, maka besar kemungkinan proses pengundian belah bagi akan berlaku di Dewan Rakyat.

Ada kemungkinan Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 itu tidak dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Perkara 68(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Rang Undang-Undang Belanjawan tahunan negara mestilah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Rang Undang-Undang berkenaan kewangan tidak boleh datang dari Dewan Negara.

Jika Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat, apa akan jadi?

Rang Undang-Undang yang tidak lulus itu tidak boleh dibawa ke Dewan Negara. Ia juga tidak boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan diraja.

Dalam keadaan sedemikian, apa implikasinya?

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin tidak ada wang untuk menguruskan negara bagi tahun 2021. Sesebuah kerajaan hanya boleh berbelanja dengan menggunakan peruntukan kewangan yang telah diluluskan oleh Parlimen.

Apa pilihan yang Muhyiddin ada, jika beliau menghadapi senario sedemikian? 

Pilihan pertama ialah Muhyiddin meletak jawatan sebagai perdana menteri bersama-sama seluruh anggota kabinet kerajaan PN. Dalam erti kata lain, kerajaan PN tumbang.

Soalannya adakah Muhyiddin dan kerajaan pimpinannya mesti meletak jawatan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen?

Dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa perdana menteri dan Kabinet mesti meletak jawatan jika kalah dalam undian berkenaan Belanjawan Tahunan di Dewan Rakyat.

Malaysia sejak Merdeka tidak pernah mengalami situasi di mana Rang Undang-Undang Belanjawan ditolak oleh Dewan Rakyat.

Yang ada adalah amalan lazim atau disebut konvensyen yang diamal pakai di negara-negara demokarasi khususnya dalam Komanwel bahawa perdana menteri dan kabinet hendaklah meletak jawatan apabila kalah dalam undian belanjawan tahunan.

Kekalahan sedemikian dianggap kerajaan berkenaan khusus perdana menterinya tidak mendapat kepercayaan yang cukup dalam kalangan ahli Parlimen.

Jadi, secara andaian yang mungkin, apa pilihan lain yang Muhyiddin ada, jika beliau enggan meletak jawatan?

Muhyiddin boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya darurat seluruh negara diisystiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan atas alasan wujud keadaan darurat yang besar di mana kehidupan ekonomi terancam akibat belanjawan negara tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat. 

Persoalannya adakah Muhyiddin sanggup menghadap Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua memohon perisytiharan darurat selepas permohonannya kali pertama tidak lama dahulu ditolak oleh baginda?

Pilihan lain yang ada pada Muhyiddin jika belanjawan ditolak ialah beliau terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda supaya Parlimen Penggal ke-14 ini dibubarkan dan satu pilihan raya umum diadakan.

Apa risiko yang Muhyiddin mungkin hadapi jika berbuat demikian? Ada kemungkinan bahawa permohonan perdana menteri itu ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Apakah pilihan yang lazimnya dipakai di negara-negara demokrasi lain apabila Rang Undang-Undang Belanjawan Negara ditolak oleh Parlimen yang patut konvesyen ini dicontohi di Malaysia?

Pilihannya ialah perdana menteri itu wajar menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan surat perletakan jawatan. Dengan berbuat demikian Kabinetnya juga gugur.

Kerajaannya tumbang dan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan kuasa baginda berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dengan melantik perdana menteri baharu berdasarkan Perkara 43(2)(a).

Sebuah Kabinet baharu akan dibentuk dan sebuah kerajaan baru ditubuhkan dengan tugas pertamanya ialah membentangkan Belanjawan 2021.

Pemimpin-pemimpin blok pembangkang juga menyedari dilema yang mereka hadapi. Mereka tidak dapat menerima belanjawan seperti apa yang telah dibentangkan di parlimen.

Jika mereka tolak secara keseluruhan mungkin akan berlaku pergolakan politik yang hebat seperti yang dinyatakan di atas. Blok pembangkang tentu tidak bersetuju perisytiharan darurat diisytiharkan kerana belanjawan kerajaan PN tewas di Parlimen.

Blok pembangkang juga tentu berpandangan bahawa pilihan raya umum tidak patut diadakan dalam masa terdekat di mana pandemik Covid-19 masih di peringkat bahaya dan PKPB dikuatkuasakan di banyak negeri.

Blok pembangkang juga dalam dilema kerana mereka tidak pasti apakah langkah yang akan diambil oleh Muhyuddin dan kerajaan PN jika pada 25 November nanti Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 ditolak oleh Dewan Rakyat. – 15 November, 2020.

* Hassan Abdul Karim ialah ahli Parlimen Pasir Gudang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen