Mahathir menghidap sakit kronik 'Anwar-0-Phobia'


ANWAR Ibrahim tak mampu tadbir negara ketika krisis, begitulah kata Dr Mahathir Mohamad seperti dilaporkan oleh media. Kenapa bekas perdana menteri itu masih mengeluarkan kenyataan seperti ini sedangkan beliaulah yang datang berjabat tangan dengan Anwar di mahkamah untuk membentuk gabungan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14?

Kenapa kenyataan yang bersifat gelisah, penuh dendam kesumat dan berhati kaldu ini masih diucapkan?

Memerhati dengan rapat tingkah laku beliau, penulis dapat katakan bahawa Mahathir mempunyai sejenis penyakit, “Anwar-0-Phobia”, iaitu sejenis penyakit kronik yang mana pesakitnya hidup dalam ketakutan terhadap manusia bernama Anwar Ibrahim.

Pesakit bernama Mahathir ini tidak akan dapat tidur lena selagi Anwar mempunyai walaupun 1% peluang untuk jadi PM.

Kenapa Mahathir takut kepada Anwar? Mudah, kerana beliau tak mahu ada orang yang lebih baik dari beliau memimpin negara ini. 

Selama ini dia dianggap sebagai PM yang hebat – sebagai jagoan, wira Dunia Ketiga dan pemimpin serba maha. Sudah tentu kewiraan ini nampak jelas jika dibanding dengan Pak Lah, Najib dan Muhyiddin.

Tetapi jika dibanding dengan Anwar, kemungkinan tidak. Kerana itu, Anwar harus dihalang untuk menjadi PM selagi hayat Mahathir ada.

Berbalik kepada kenyataan terbaharu Mahathir bahawa Anwar tak mampu tadbir negara di saat krisis. Maksud Mahathir bahawa beliaulah orang yang paling layak mentadbir negara ketika krisis.

Mari kita lihat sebahagian dari senarai rekod-rekod Mahathir mentadbir negara ketika dalam krisis.

Dari segi ekonomi, pada krisis kewangan 1988, seorang ahli perniagaan telah mengalami kerugian besar dalam perusahaan perkapalan. Mahathir telah mengarahkan supaya wang negara berjumlah RM1.7 bilion digunakan untuk ‘bailout’ syarikat tersebut. 

Ahli perniagaan yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah Mirzan, anak Mahathir sendiri! Orang yang tidak mahu mengeluarkan wang negara bagi tujuan tersebut ketika itu ialah Menteri Kewangan, iaitu Anwar Ibrahim. Kerana itu Daim dilantik sebagai menteri khas untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Berapa bilion lagi wang negara dihabiskan untuk membantu keluarga dan kroni beliau? Ruang ini tidak cukup besar untuk mengupas isu Empangan Bakun, Lebuhraya PLUS, Perwaja dan lain-lain yang mempunyai cerita yang hampir sama. 

Apakah ini kriteria seorang kepala negara yang pandai mentadbir ketika krisis? Untuk selamatkan anak dan kroni?  

Dari segi politik, pada 1998, ketika krisis kepimpinan Umno yang menyaksikan Mahathir hampir-hampir kalah kepada Tengku Razaliegh sebagai presiden dalam pemilihan Umno, Mahathir menggunakan kuasa kuku besi untuk bertindak ke atas hakim-hakim yang mahu membicarakan kes tersebut.

Ketua Hakim Negara Salleh Abas bersama lima hakim – Azmi Kamaruddin, Eusoffe Abdoolcader, Wan Hamzah Mohamed Salleh, Wan Suleiman Pawan Teh dan George Seah telah dipecat oleh Mahathir.

Tindakan Mahathir menyebabkan kehancuran parah kepada sistem kehakiman negara dan ia gagal dipulihkan sampai hari ini. 

Hakim-hakim tersebut dipecat untuk menyelamatkan kedudukan Mahathir sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri. Apakah memijak kedaulatan undang-undang bagi menyelamatkan kedudukan sendiri dianggap sebagai kemampuan mentadbir?

Sebelum itu, pada Oktober 1987, Mahathir juga menangkap 119 aktivis dan ahli politik di bawah undang-undang tanpa bicara ISA dalam Operasi Lalang. 

Dua akhbar bebas ketika itu, The Star dan Watan juga diharamkan. Selepas itu, ISA terus digunakan Mahathir untuk menutup mulut pengkritik-pengkritik pemerintahan beliau. 

Tidak perlu jadi saintis roket untuk menyatakan cara kekuasaan kuku besi ketika krisis bukanlah ciri-ciri seorang pemimpin yang bagus untuk negara. Semua diktator di dunia menggunakan cara ini untuk mengekalkan kuasa

Ketika berkonspirasi untuk memfitnah serta memenjarakan Anwar pada tahun 1998, Mahathir turut menyeret semua institusi negara untuk terlibat dalam percaturan kotor itu. 

Jabatan Peguam Negara, hakim-hakim, PDRM, institusi pendidikan dan hampir kesemua jabatan kerajaan dikerah untuk menyokong dan menyelamatkan beliau. 

Akhirnya institusi-institusi yang dulunya sangat independen dan berwibawa bertukar menjadi lemah dan kehilangan jati diri. Ia menyebabkan rakyat dan mesyarakat turut menjadi lemah.

Siapa yang menjadi tukang menghancurkannya? Mahathir sendiri. 

Apakah Anwar tidak layak mentadbir? Jawapanmya mudah saja. Beri peluang Anwar sebagai PM dan biar rakyat menilai. Noktah. – 14 November, 2020.

* Zunar, pelukis kartun politik.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen