Bolehkah pengkhianat bersikap ikhlas?


SAYA ditanya mengapa perlu saya hujahkan bahawa Muhyiddin Yasin adalah perdana menteri yang paling lemah dalam sejarah negara.

Kepimpinan lemah tidak membawa kebaikan bagi rakyat dan negara ketika rakyat berhadapan dengan kesan mencabar terhadap kehidupan mereka. Dari segi kesihatan awam, rakyat bertuah kerana sistem kesihatan awam negara telah terbina kukuh bertahun lamanya sehingga mampu mengatasi sistem kesihatan awam negara-negara maju.

Namun, rakyat dan negara perlu juga kepada kestabilan politik supaya ekonomi rakyat dan negara mampu bertahan kesan buruk wabak Covid-19 dan mampu meningkat kembali apabila wabak itu dapat diredakan.

Kesilapan Muhyiddin dan rakan-rakan politiknya menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengistiharkan darurat kononnya kerana inilah caranya negara boleh mengatasi wabak Covid-19 telah sebenarnya membuka kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu sendiri.

Ia suatu tindakan yang terdesak dan mendedahkan kelemahan kumpulan penasihat dan perancang Muhyiddin, inner circlenya dan jemaah menteri PN.

Keputusan untuk diisytihar darurat sudah cukup memerlukan Muhyiddin meletakkan jawatan kerana pentadbir semasa darurat tidak perlu baginya kekal sebagai perdana menteri!

Siapalah yang menasihat Muhyiddin untuk menyembahkan nasihat ini kepada Yang di-Pertuan Agong? Saya dengar ramai peguam yang rapat dengan Bersatu dan komponen PN yang telah terlibat menasihat Muhyiddin.

Apabila nasihat Muhyiddin ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong, sekali lagi terdedah kelemahan kepimpinan beliau sebagai perdana menteri dan lagi mengukuhkan sebab beliau sepatutnya meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri.

Seterusnya, kerajaan PN terpaksa berhadapan pula dengan Dewan Rakyat untuk meluluskan Belanjawan 2021. Sekarang belanjawannya itu mendapat pula ‘talian hayat’ dari Yang di-Pertuan Agong yang bertitah agar Belanjawan 2021 dilulus oleh Dewan Rakyat.

Dah terbongkar lagi kelemahan kepimpinan kerajaan PN di bawah Muhyiddin!

Keempat, apabila saranan Najib Razak selaku Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) untuk menyokong Belanjawan 2021 secara bersyarat sehingga menimbulkan polemik ‘hikayat Puteri Gunung Ledang’ oleh wakil rakyat PN dari PAS dan keangkuhan Ketua Eksekutif KWSP, Muhyiddin dan PN sudah berdepan dengan keadaan ‘kalah-kalah’ umpama ‘ditelan, mati emak, dibuang’.

Ditolak saranan BNBBC pun susah, diterima pun lagi kelihatan lemah PN.

Tidak adil bagi rakyat dan negara terpaksa mendukung kepimpinan kerajaan yang lemah setelah baru 30 bulan dahulu saja, mandat rakyat melalui PRU14 tidak akhirnya membawa kepada kebaikan dan munafaat untuk mereka!

Memang tepat permintaan awal-awal Umno-BN pada Mac lepas bahawa jalan yang terbaik ialah untuk kembali balik kepada mandat rakyat.

Umno-BN bersabar dan sanggup meletak tepi keresahan menyokong mereka yang pernah mengkhianati Umno untuk mereka pula duduk sebagai pemerintah.

Sudah tahu dengan pasti mereka itu mudah mengkhianati kawan dan perjuangan, sekarang jangan bertolak ansur lagi.

Mungkinkah boleh ‘pengkhianat’ bersifat ikhlas?

Hanya mandat rakyat yang mampu menyelamat rakyat dan negara dari kelemahan kepimpinan negara hari ini. – 13 November, 2020.


* Shahrir Abdul Samad, Ketua Umno Bahagian Johor Bahru.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen