Sokongan kepada KP Kesihatan


BIAR saya mulakan penulisan ini dengan ucapan jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang komited menabur bakti dalam peperangan melawan pandemik Covid-19.

Kita menghargai peranan semua barisan hadapan - dari mereka yang membuat pemeriksaan terhadap individu dalam pemantauan (PUS) dan individu dalam siasatan (PUI), yang berpanas serta berhujan menjaga sekatan jalan raya, pasukan sanitasi, para pemberita yang menyampaikan maklumat untuk pengetahuan masyarakat, kepada pemantau persempadanan negara.

Pengorbanan anda semua amatlah kami hargai sebagai rakyat Malaysia.

Bagi kami, anda semua adalah wira negara—terus memberi perkhidmatan demi memastikan keselamatan rakyat dan negara terus terjaga, meskipun berdepan risiko dan terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), petugas barisan hadapan dan pekerja sektor kritikal lain bertugas untuk tempoh masa yang lama, beban kerja yang berat serta potensi stigma dan diskriminasi kerana Covid-19.

Jika tidak ditangani, ini boleh menyebabkan keletihan dan tekanan mental.

“Marilah kita menyokong pekerja sektor kritikal dan berterima kasih atas perkhidmatan mereka,” ujar infografik yang disiarkan di laman web tersebut.

Sebagai rakyat Malaysia, yang tidak terlibat dalam tugasan barisan hadapan ini, apa peranan kita untuk membantu mengawal penularan pandemik ini atau sekurang-kurangnya meringankan sedikit bebanan tugas para barisan hadapan?

Jawapannya, kita semua mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian penyakit Covid-19 di negara ini.

Sokongan dan dukungan seharusnya diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dan pasukannya agar penularan Covid-19 dapat dikawal sekali gus kehidupan kita dapat kembali normal seperti sebelum ini.

Ini kerana pandemik ini membawa kepada kesan buruk terhadap kehidupan rakyat bukan sahaja dari segi kesihatan malah ekonomi.

Ramai kehilangan pekerjaan manakala perniagaan gulung tikar. Pendek kata, hampir semua terkesan bahana Covid-19.

Ketokohan Noor Hisham turut mendapat pujian ramai serta pengiktirafan antarabangsa.

Beliau bersama pasukan barisan hadapan bertungkus-lumus berusaha meratakan lengkungan graf (flattening of the curve) pandemik tersebut. Beliau berperanan secara signifikan dalam mengurus dan mengendalikan serangan Covid-19 di negara ini. 

Sehingga ke saat ini, Noor Hisham dan anak buahnya di Kementerian Kesihatan terus bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Kita perlu mempertahankan imej Noor Hisham serta pasukannya. Kita mahu mereka dapat menumpukan komitmen tertinggi terhadap usaha memerangi musuh tidak dapat dilihat ini (Covid-19) dengan efisien dan cemerlang.

Sebab itu, ramai yang angkat topi dengan beberapa wakil rakyat yang mempertahankan Noor Hisham di Parlimen tempoh hari. “Kudos” kepada mereka.

Saya berharap semua pihak dapat terus menyokong dan mendukung usaha Noor Hisham serta pasukannya melawan pandemik berbahaya ini.

Kita doakan agar peperangan melawan Covid-19 di Malaysia serta di seluruh dunia akan dimenangi oleh kita semua. – 13 November, 2020.

* Ben Zack ialah seorang pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen