PAC Parlimen akan panggil KPDNHEP jelas isu pengurusan subsidi LPG


Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata PAC tidak berpuas hati dengan maklum balas dikemukakan KPDNHEP melalui Kementerian Kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu pengurusan subsidi gas petroleum cecair (LPG).

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata PAC tidak berpuas hati dengan maklum balas dikemukakan kementerian itu melalui Kementerian Kewangan berhubung jangka masa kajian subsidi bersasar yang hanya akan siap pada suku ketiga tahun depan.

“Bagi PAC kita berpendapat tempoh timeline (jarak masa) ini terlalu panjang dan sekiranya kita nak menunggu kajian ini disiapkan pada suku ketiga 2021, maka isu ini mungkin tidak akan diselesaikan dalam dua, tiga tahun akan datang.

“Oleh itu, PAC membuat keputusan memanggil KPDNHEP untuk memberikan penjelasan lanjut berkenaan timeline itu dan PAC tidak akan memberikan jarak masa yang panjang yang mana kami tidak mahu dana negara atau subsidi LPG ini terus mengalami ketirisan serius seperti yang dilaporkan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 sebelum ini mendapati kerajaan menanggung kerugian berjumlah RM1.71 bilion dari tahun 2015 hingga 2017 akibat penggunaan silinder LPG bersubsidi oleh pengguna bukan daripada golongan sasar.

Wong berkata PAC juga akan memanggil Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan Ambrin Buang minggu depan bagi memberikan maklumat berhubung isu pertukaran tanah melibatkan Kementerian Pertahanan dan melibatkan Kementerian Pengangkutan sebelum memutuskan untuk membuka atau tidak prosiding bagi isu berkenaan.

Dalam pada itu, Wong memaklumkan dua Ahli Parlimen Barisan Nasional Hasbullah Osman (Gerik) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) dipilih menganggotai PAC hari ini bagi menggantikan Noh Omar (Tanjung Karang) dan Ahmad Maslan (Pontian). β€“ Bernama, 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen