Elakkan pencarum KWSP sentuh akaun mereka


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya meneliti semula cadangan mereka untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan simpanan mereka daripada akaun mereka. 

Kami sekali lagi mengulangi pendirian kami bahawa pemegang akaun tidak seharusnya dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka kerana mereka akan mengeluarkan dan membelanjakan simpanan mereka yang dimaksudkan untuk persaraan.

Dalam ucapan Belanjawan Negara 2021, diumumkan kerajaan akan membenarkan pengeluaran bulanan RM500 daripada Akaun 1 KWSP, berjumlah RM6,000 dalam tempoh 12 bulan.

Objektifnya adalah untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik.

Kerajaan perlu menyediakan pakej rangsangan ekonomi dengan pelan memperluaskan bantuan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan daripada meminta mereka menggunakan simpanan mereka untuk merangsang ekonomi. 

Ini kerana, daripada 14.59 juta pencarum KWSP, 32% pencarum KWSP (4.7 juta) mempunyai baki kira-kira RM1,000; dan 10% (1.5 juta) mempunyai baki kira-kira RM5,000 dan ke bawah dalam akaun 1 mereka.

Dalam perkataan lain, dianggarkan 6.2 juta (42%) pencarum KWSP tidak mempunyai RM6,000 untuk dikeluarkan.

Andaikan mereka kembali bekerja selepas pandemik, bersara pada usia 60 dan meninggal pada usia 76 tahun (purata jangka hayat rakyat Malaysia), mereka akan tidak mempunyai wang bagi lebih sedekad.

CAP membantah idea pencarum mengeluarkan wang daripada akaun KWSP mereka kerana di bawah Seksyen 27 Akta KWSP 1991, pencarum dijamin kadar minimum 2.5% setahun daripada simpanan pencarum. 

Pada 2019, KWSP mengumumkan dividen 5.45% untuk simpanan konvensional dan 5.0% bagi simpanan syariah. 

Oleh itu, jika pencarum mengeluarkan simpanan maka mereka akan kehilangan dividen dan kesannya simpanan mereka akan semakin berkurangan apabila mereka bersara.

Dengan meminta orang ramai meneruskan kelangsungan hidup menggunakan dana persaraan mereka sendiri samalah seperti seorang bapa meminta anak-anak memecahkan tabung simpanan mereka sendiri jika mahukan makanan seterusnya. 

Ini sesuatu yang tidak terfikirkan dan tidak bertanggungjawab terutamanya dalam tempoh sukar seperti ini.

Kerajaan sepatutnya mencari cara lain untuk menyediakan bantuan kepada kumpulan masyarakat yang mudah terjejas.

Kami mencadangkan agar pemotongan gaji 50% dan faedah istimewa juga dipotong bagi semua ahli Parlimen. Inilah yang dikatakan “Kepimpinan Melalui Teladan”.

Kerajaan juga perlu meneliti dengan serius struktur gaji mereka yang merupakan eksekutif tertinggi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), entiti berkaitan kerajaan (GLE) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Di samping gaji dan elaun bulanan mereka, terdapat faedah istimewa dan keistimewaan serta terma imbuhan lain yang dipersetujui.

Menurut kajian FTSE Bursa Malaysia KLCI 30 syarikat dilaporkan pada Januari 2019, eksekutif teratas GLC memperolehi pendapatan purata RM5.5 juta setahun atau sekitar RM458,300 sebulan.

Kami menggesa kerajaan supaya memotong gaji mereka sekurang-kurangnya 25% kerana RM458,300 itu hampir kepada 2,300 kali ganda daripada mereka yang bergaji RM2,000.

Peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) boleh digunakan dalam bidang keutamaan yang perlu disegerakan berkaitan dengan penjagaan kesihatan awam, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) (untuk menjana peluang pekerjaan), menangani masalah mereka yang ketiadaan pekerjaan dan pendidikan. 

Jika masalah ini tidak diutamakan dan diberi perhatian, tiada sebarang pembangunan infrastruktur digital oleh Jasa yang akan menyelamatkan negara.

Bahkan, pengumuman Jasa untuk mengambil kakitangan tidak menyenangkan sama sekali kerana sektor awam sudah pun terlalu ramai.

Membayar pencen kepada pesara kerajaan sahaja menyebabkan kerajaan menanggung kos RM27.1 bilion pada 2020. – 11 November, 2020.

* Mohideen Abdul Kader, presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen