B40 layak bantuan bayaran balik pinjaman bersasar, kata persatuan bank


Golongan B40 yang terjejas Covid-19 boleh memohon bantuan bayaran balik pinjaman bersasar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2020.

BANTUAN bayaran balik pinjaman bersasar untuk peminjam institusi kewangan yang sedang dilaksanakan sekarang, telah dipertingkatkan dan tersedia untuk kategori B40, yang kedudukan kewangan mereka telah terjejas oleh Covid-19, kata Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM).

Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan itu berkata peminjam B40 terdiri daripada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan perusahaan mikro dengan pinjaman yang mana jumlah kemudahan asal berjumlah sehingga RM150,000.

Ia berkata di bawah bantuan pembayaran  balik bersasar dipertingkatkan, peminjam yang layak mempunyai dua pilihan— penangguhan pembayaran ansuran tiga bulan atau pengurangan pembayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

ABM berkata hanya pinjaman yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari daripada tarikh permohonan peminjam, layak untuk bantuan berkenaan.

Bagi pasangan suami isteri yang layak untuk BSH/BPR berdasarkan kepada pendapatan isi rumah, kedua-dua mereka layak untuk pakej ini sekiranya mereka mempunyai pinjaman bank.

“Bagi mereka yang memilih untuk keluar daripada moratorium yang diumumkan pada Mac 2020 juga layak untuk bantuan pembayaran semula bersasar ini.” katanya.

ABM berkata penambahbaikan kepada bantuan pembayaran bersasar ini akan berkuat kuasa mulai 1 Disember 2020 - 30 Jun, 2021, sambil menambah industri perbankan akan menyediakan maklumat terkini selanjutnya pada minggu hadapan.

“Peminjam boleh mengemukakan permintaan dan pengesahan bantuan pembayaran balik yang diperlukan kepada bank masing-masing menerusi saluran yang disedikan oleh bank, mulai 23 November 2020 sehingga 30 Jun, 2021,” katanya. – Bernama, 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen