Rumah ibadat bukan Islam di Seremban, Nilai dibenarkan beroperasi semasa PKPB


Kerajaan membenarkan masyarakat bukan Islam menunaikan ibadat mengikut SOP yang ketat dan ditetapkan sepanjang PKPB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2020.

RUMAH ibadat bukan Islam di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di daerah Seremban termasuk zon Nilai dibenarkan beroperasi, namun harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata terdapat sedikit kekeliruan sebelum ini yang menyatakan bahawa rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan beroperasi berikutan pelaksanaan PKPB di kawasan berkenaan.

“Ada sedikit kesilapan sebenarnya… kerajaan membenarkan masyarakat bukan Islam menunaikan ibadat mengikut SOP yang ketat dan ditetapkan. Kita tak ada halangan untuk mereka menunaikan ibadat tetapi perlulah mengikut kesesuaian dan SOP.

“Cuma yang tak dibenarkan adalah mengadakan program selain daripada ibadat seperti kenduri, majlis perkahwinan dan sebagainya. Kita juga mohon masyarakat jangan berada terlalu lama di tempat ibadat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Pada 30 Oktober lepas, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan J Arul Kumar dilaporkan berkata sembilan rumah ibadat bukan Islam meliputi kuil dan gereja di kawasan PKPB Zon Nilai ditutup mulai 28 Oktober lepas.

Sementara itu, mengenai sukan elektronik (e-sukan), Aminuddin berkata kerajaan negeri meluluskan supaya lesen sukan berkenaan diuruskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dijangka boleh dikeluarkan pada 1 Januari tahun hadapan. – Bernama, 4 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen