Jet tentera Taiwan terhempas, seorang juruterbang maut


Taiwan berdepan masalah jet pejuang usang dan lama yang mewujudkan cabaran ketika negara itu berdepan ancaman China. – Gambar AFP, 29 Oktober, 2020.

SEORANG juruterbang Taiwan maut hari ini selepas jet pejuangnya terhempas di laut selatan negara itu ketika proses latihan, kata tentera udara, dalam kejadian kedua kemalangan maut dalam hanya tiga bulan.

Juruterbang Chu Kuang-meng berjaya keluar daripada jet F-5E selepas melaporkan masalah enjin tidak lama selepas berlepas, kata tentera.

Kuang-meng, 29, kemudiannya dikutip dari laut dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi tidak berjaya diselamatkan. 

Kemalangan itu berlaku ketika tentera udara Taiwan yang bergelut dengan masalah kekurangan kelengkapan dan jentera usang berdepan dengan risiko pencerobohan dalam zon pertahanannya oleh pesawat China.

Negara itu terpaksa mengerahkan juruterbangnya sebanyak dua kali ganda tahun lepas dalam usaha melawan cabaran China.

Beijing menganggap Taiwan sebagai jajahannya dan berikrar akan merampasnya satu hari nanti, termasuk dengan kekerasan sekiranya terpaksa.

Penganaliss berkata tekanan berterusan diberikan China adalah untuk menguji sistem pertahanan Taiwan yang sekaligus memenatkan juruterbangnya.

F-5E adalah pesawat generasi lama dengan reka bentuk tahun 1960-an.

Ketua Tentera Udara Huang Chih-wei memberitahu wartawan yang semua pesawat F-5 tidak lagi dibenar terbang dan menjalani pemeriksaan keselamatan selepas tragedi itu.

Pada Julai, dua anak kapal terbunuh apabila helikopter dinaiki mereka terhempas ketika Taiwan mengadakan latihan ketenteraan termasuk satu stimulasi menangkis serangan China.

Taiwan sering berdepan ancaman pencerobohan China sejak berpisah selepas perang saudara 1949.

Beijing meningkatkan tekanan ketenteraan, ekonomi dan diplomatik kepada Taiwan sejak Presiden Tsai Ing-wen menang pilihan raya 2016, kerana keenganannya mengakui konsep “One China” melibatkan Taiwan. – AFP, 29 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen