Kes Covid-19 meningkat, UK digesa laksana semula perintah pengurungan


Kes Covid-19 di England kini meningkat dua kali ganda setiap sembilan hari dengan peningkatan jumlah kematian mendadak memberi tekanan kepada kerajaan. – Gambar EPA, 29 Oktober, 2020.

KES koronavirus di England kini meningkat dua kali ganda setiap sembilan hari dengan peningkatan jumlah kematian mendadak memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan nasional.

Sebanyak 310 kematian dilaporkan semalam – hari kedua berturut-turut mencatatkan lebih 300 kematian.

Peningkatan kes menyebabkan Perdana Menteri Boris Johnson mengambil langkah mengenakan larangan setempat di kawasan paling teruk terjejas.

Pada 25 Oktober seramai 128 orang per 10,000 dijangkiti di England, meningkat dari 60 orang pada 16 Oktober, menurut kajian yang sedang dijalankan oleh Imperial College London dan lpsos MORI.

Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (RO) kebangsaan yang menunjukkan jumlah mereka yang dijangkiti oleh seseorang yang dijangkiti virus meningkat kepada 1.6.

Awal tahun ini Johnson dikritik kerana pendekatan awalnya yang menyebabkan wabak menular walaupun jumlah kes dan kematian positif meningkat di tempat lain di Eropah.

Beliau akhirnya menguatkuasakan perintah pengurungan pada akhir Mac, menutup semua kedai dan sekolah yang tidak penting dan memaksa berjuta-juta pekerja bekerja dari rumah untuk mengurangkan kadar jangkitan.

Langkah-langkah duduk di rumah ditarik semula pada Jun ketika kes mulai kurang tetapi jumlah kes kembali meningkat pada September.

Sehingga kini beliau masih menolak untuk melaksanakan perintah pengurungan kali kedua.

Kerajaan enggan melakukannya memandangkan kerugian yang melanda ekonomi, ramai hilang pekerjaan dan penurunan output yang teruk.

Sebaliknya England menguatkuasakan sekatan tiga peringkat bergantung pada kadar jangkitan.

Namun surat khabar Sun melaporkan bahawa sainstis kerajaan mahukan peraturan lebih ketat kerana mereka memberi amaran bahawa mungkin seramai 25,000 pesakit Covid-19 dimasukkan di hospital pada akhir November.

Britain menjadi negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 di Eropah dengan lebih 45,000 kematian dicatatkan akibat virus berkenaan. – AFP, 29 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen