Lantik segera ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, kata pengerusinya


Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh berharap pelantikan ahli-ahli jawatankuasa itu dapat dibuat pada hari pertama Parlimen bersidang pada 2 November ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

PARLIMEN perlu segera melantik ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) apabila Dewan Rakyat bersidang minggu depan bagi memastikannya dapat berperanan semula selepas tertangguh sejak Mac, kata pengerusinya Wong Kah Woh.

Ahli Parlimen Ipoh Timur berharap pelantikan ahli-ahli jawatankuasa itu dapat dibuat pada hari pertama Parlimen bersidang pada 2 November ini.

“Saya telah menulis surat kepada Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada minggu lepas berkenaan dengan permohonan dan seruan saya. 

“Saya berharap Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dapat memandang pserius perkara ini dan masalah yang dihadapi oleh PAS sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong dipilih mengetuai jawatankuasa itu pada hujung Ogos lalu, menggantikan Noraini Ahmad (Kota Tinggi-Barisan Nasional) yang dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dewan Rakyat juga sepakat melantik Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun dari Perikatan Nasional untuk menggantikan tempat Wong sebagai timbalan pengerusi.

Menurut Wong, walaupun pengerusi dan timbalan pengerusi PAC sudah dilantik dua bulan lalu, jawatankuasa itu masih tidak dapat menyambung tugas yang tergendala kerana ahli-ahlinya belum ada.

“PAC perlu menebus semula waktu yang hilang,” katanya, yang sudah beberapa kali mendesak Parlimen mengenai kelengahan ini.

“PAC mungkin ‘dicutikan’ sehingga November sekiranya pelantikan ditangguh.”

Jelas Wong, beliau dan pihak Sekretariat PAC sudah mengatur jadual mesyuarat untuk taklimat kepada ahli jawatankuasa dan seterusnya urusan yang perlu diselesaikan, sekiranya mereka dapat dilantik pada hari pertama sidang Dewan Rakyat.

“Kita berhasrat untuk membentangkan satu laporan PAC pada minggu pertama parlimen dan satu lagi laporan PAC pada minggu kedua,” katanya.

Beliau mengingatkan peranan jawatankuasa itu untuk membantu Parlimen memainkan peranan sebagai badan semak dan imbang kepada kuasa eksekutif.

PAC antara lain berperanan memeriksa dan memantau urusan kewangan negara untuk memastikannya diurus dengan baik dan mengikut peraturan.

Antara yang biasa dilakukannya ialah memantau tindakan pembetulan yang dicadangkan dalam laporan audit ke atas kewangan kerajaan yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara dari masa ke masa. – 29 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen