Lebih 29 juta rakyat Tanzania keluar mengundi


Seorang penduduk membuang undi di Pusat Mengundi Kariakoo, Tanzania. Lebih 29 juta rakyat negara itu keluar mengundi hari ini yang menyaksikan sekitar 80,000 pusat mengundi di seluruh negara dibuka. – Gambar EPA, 28 Oktober, 2020.

LEBIH 29 juta rakyat Tanzania keluar mengundi hari ini yang menyaksikan sekitar 80,000 pusat mengundi di seluruh negara dibuka untuk memilih presiden dan anggota parlimen, lapor agensi berita Xinhua.

Pilihan raya membabitkan 15 calon presiden daripada 15 parti politik tetapi persaingan sengit melibatkan penyandang John Magufuli daripada parti pemerintah Chama Cha Mapinduzi dan Tundu Lissu daripada parti pembangkang utama Chama Cha Demokrasia na Maendeleo.

Magufuli akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua selama lima tahun dan mahu menyelesaikan apa yang digambarkannya sebagai agenda menjadikan Tanzania sebagai pusat ekonomi.

Sebilangan besar tempat mengundi dibuka pada 7 pagi waktu tempatan dan dijangka ditutup 4 petang dengan setiap saluran mengundi hanya menampung kurang 500 pengundi.

Semistocles Kaijage, Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Nigeria pada Selasa berkata  hanya suruhanjaya ini yang diberi kuasa untuk mengumumkan keputusan namun, tidak memberikan butiran lanjut bila keputusan akan dikeluarkan atau  presiden baharu dilantik. – Bernama, 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen