Thailand, AS meterai perjanjian infrastruktur


Kementerian Kewangan Thailand dan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian kerjasama dua hala bagi mengumpul dana untuk infrastruktur di Thailand. – Gambar EPA, 28 Oktober, 2020.

KEMENTERIAN Kewangan Thailand dan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian kerjasama dua hala bagi mengumpul dana untuk infrastruktur di Thailand, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Pornchai Teerawet, timbalan jurucakap Kementerian Kewangan, berkata Menteri Kewangan Arkhom Termpittayapaisith bertukar dokumen yang ditandatangani dengan Duta Besar AS Michael George DeSombre di Kementerian Kewangan.

Menurut dokumen tersebut, kedua-dua negara akan bekerjasama dalam pembangunan infrastruktur, mengumpulkan dana daripada sektor swasta untuk tujuan tersebut, mempromosikan pasaran wang dan modal untuk pembangunan infrastruktur, dan mengkaji masalah dan penyelesaian untuk pembiayaan kewangan kepada pemaju infrastruktur. 

Thailand dan AS akan membentuk kumpulan kerja yang terdiri daripada wakil organisasi yang berkaitan.

Kumpulan kerja berkenaan akan mengkaji pembangunan infrastruktur di Thailand yang akan mempromosikan daya saing Thailand dan kerjasama strategik dua hala di Asia Tenggara.

Kementerian Kewangan Thailand dan Jabatan Perbendaharaan AS menandatangani dokumen tersebut pada 22 September. Thailand adalah negara Asia lain yang menandatangani dokumen tersebut dengan AS selepas Singapura, Korea Selatan dan Vietnam. β€“ Bernama, 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen