Jangan letak syarat jika tawar jawatan TPM, kata pengikut Najib


Pengikut Najib Razak dalam Umno tidak mahu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menetapkan syarat sekiranya mahu melantik seorang timbalan daripada parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2020.

PENGIKUT Najib Razak dalam Umno tidak mahu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menetapkan syarat sekiranya mahu melantik seorang timbalan daripada parti itu.

Bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil yang juga ketua penerangan BN Selangor menegaskan demikian ketika mengulas ura-ura Muhyiddin akan melantik seorang timbalan dari Umno.

Bagaimanapun, tawaran itu tersebut didakwa mensyaratkan agar tidak diberikan kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, katanya.

Mengulas perkara itu, Isham berkata tawaran seperti itu perlu dikaji dahulu kerana ia hanya akan mengukuhkan kedudukan Muhyiddin dan pada masa sama memberi kesan buruk kepada Umno.

“Jika ini benar, maka pada permukaannya tawaran ini nampak elok namun ianya perlu diperhalusi dengan lebih mendalam dan bukan dengan tergesa-gesa.

“Pada hemat saya, adalah lebih baik jika tawaran daripada perdana menteri merangkap presiden Bersatu kepada Umno ini datang dengan tidak bersyarat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ura-ura tersebut timbul ketika perdana menteri kini ditekan untuk memujuk Umno yang mengancam untuk mengalih sokongan dan menyebabkan krisis dalam pentadbiran Muhyiddin.

`Ia memaksa kerajaan Muhyiddin memohon agar Yang di-Pertuan Agong mengisytihar darurat, yang dilihat sebagai usaha menggantung sidang parlimen bagi membolehkan PN terus berkuasa.

Baginda bagaimanapun pada Ahad menolak permohonan itu dan menitahkan agar segala politiking dihentikan, memastikan kerajaan stabil dan menjamin Belanjawan 2021 dapat menangani Covid-19.

Keputusan itu membolehkan Muhyiddin kekal sebagai perdana menteri namun tidak meredakan kegusaran pemimpin dan akar umbi Umno yang bimbang parti itu terus diketepikan.

Mengulas lanjut dengan sentimen sama, Isham berkata tawaran tanpa syarat lebih ikhlas dan memberi lebih ruang kepada Umno untuk membuat keputusan dengan bebas.

Beliau seterusnya menggariskan tiga senario yang akan berlaku jika Zahid tidak ditawarkan jawatan tersebut:

“Pertama perbalahan dalaman Umno yang membawa kepada perpecahan apabila Presiden diketepikan secara paksa oleh pihak luar daripada parti terutama oleh parti Bersatu.

“Kedua pengukuhan kedudukan Muhyiddin dan Bersatu dalam kerajaan dengan sokongan Umno.

“Ketiga implikasi kedudukan Umno dan BN dalam Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri kini berdepan puluhan tuduhan salah laku, salah guna kuasa dan rasuah di mahkamah.

Bekas perdana menteri Najib Razak pula yang turut menghadapi pelbagai tuduhan mengumumkan untuk tidak menerima apa-apa jawatan kerajaan. – 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • UMNO masih tk berubah

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Marhaen Marhaen · Ulasan