Philadelphia tegang, protes polis tembak lelaki kulit hitam


Tunjuk perasaan di Philadelphia susulan insiden polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam berusia 27 tahun yang memegang pisau. – Gambar AFP, 28 Oktober, 2020.

PROTES berlaku di Philadelphia susulan insiden polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam berusia 27 tahun yang memegang pisau, dalam satu lagi tragedi yang mencetuskan kemarahan rakyat Amerika Syarikat (AS).

Media tempatan melaporkan, dua anggota polis menembak mangsa kelmarin, selepas mangsa enggan membuang pisau ketika ibunya cuba menenangkannya, namun keluarga lelaki itu mempersoalkan mengapa polis bertindak demikian.

Ratusan penunjuk perasaan berkumpul selepas insiden itu, dengan polis anti rusuhan menggunakan perisai dan baton ketika berkawal.

Sepanjang malam protes berlangsung, berlaku beberapa tunjuk perasaan dan kecurian, kira-kira 30 anggota polis cedera, termasuk seorang patah kaki dilanggar trak.

Beberapa siri tunjuk perasaan dan rusuhan melanda AS sejak polis membunuh George Floyd di Minnesota Mei lalu, apabila seorang anggota polis meletakkan lutut di atas leher Floyd, menyebabkannya sesak nafas.

Penunjuk perasaan menuduh polis bersifat perkauman dan ganas, tetapi Presiden Donald Trump menggunakan keresahan rakyat negara itu untuk menguatkan kempennya dalam usaha menentang Joe Biden.

Pengarah Komunikasi White House Alyssa Farah berkata kerajaan bersiap siaga dan akan menggunakan sumber Kerajaan Persekutuan jika perlu, ketika hanya tinggal seminggu lagi untuk pemilihan presiden AS. – AFP, 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen