Ketua ajaran sesat AS dipenjara 120 tahun


Pemangku Peguam AS untuk Daerah Timur New York, Seth DuCharme bercakap dengan media di luar mahkamah persekutuan Brooklyn selepas pemimpin Nxivm, Keith Rainiere dijatuhi hukuman penjara 120 tahun, semalam. – Gambar AFP, 28 Oktober, 2020.

SEORANG ketua ajaran sesat atau kultus dijatuhi hukuman penjara 120 tahun oleh hakim New York pada Selasa.

Hukuman seumur hidup itu berkuat kuasa bagi Keith Raniere, 60, selepas didapati bersalah memaksa wanita melakukan hubungan seks dengannya sebagai pemimpin karismatik Nxivm, sebuah kumpulan bimbingan hidup yang menarik perhatian ramai pengikut kaya dan terkenal.

Pengikut mendaftar untuk kursus bantuan diri selama lima hari sebanyak AS$5,000, tetapi kemudian beberapa di antara mereka dieksploitasi secara kewangan dan seksual serta terpaksa mengikuti diet yang ketat, kerana Raniere - yang dikenali sebagai “Vanguard” - mengenakan kawalan, mahkamah diberitahu sepanjang enam minggu perbicaraannya berlangsung.

Beliau menubuhkan puak dalam kumpulan yang disebut DOS, struktur piramid di mana wanita menjadi “hamba” dan “Grand Master” Raniere berada di atas.

“Hamba” itu dipaksa melakukan hubungan seks dengan Raniere, menyerahkan maklumat peribadi dan gambar tidak senonoh - dan beberapa wanita dicop seperti lembu.

Raniere disabitkan pada Jun 2019 bagi semua tujuh pertuduhan terhadapnya, termasuk pemerasan, pemerdagangan seks, konspirasi jenayah dan eksploitasi seksual seorang gadis berusia 15 tahun.

“Saya masih kanak-kanak. (Beliau) merompak masa remaja saya,” kata wanita itu semasa memberi keterangan.

Seramai 15 orang - 13 daripadanya adalah wanita - dihadapkan ke mahkamah Brooklyn pada Selasa sementara lebih 90 mangsa menulis surat kepada Hakim Nicholas Garaufis.

Nxivm terbukti berjaya menarik pengikut dengan janjinya kursus pembangunan diri selepas Raniere mengasaskan organisasi itu di New York pada 1998.

Tetapi Raniere, yang ditangkap di Mexico pada 2018, menukar kursus latihan pembangunan diri bagi sesi seks sebagai ketua subkumpulan bagi 20 wanita - yang termuda daripadanya berusia 15 tahun.

Bercakap di mahkamah Selasa, Raniere berkata beliau “sangat menyesal” atas “kesakitan dan kemarahan” yang diluahkan oleh mangsanya tetapi tetap mempertahankan dirinya sebagai tidak bersalah.

“Saya tidak kesal atas petuduhan itu. Ia tidak benar,” tambahnya.

Lima individu lain turut didakwa dalam kes itu, dan kesemuanya mengaku bersalah.

Pelakon Amerika kelahiran Jerman, Allison Mack - yang terkenal dengan watak dalam “Smallville” - mengakui dua tuduhan melakukan pemerasan pada April 2019.

Susulan sabitan Raniere, pendakwa New York Richard Donoghue berkata prosiding itu “mendedahkan bahawa Raniere, yang menggambarkan dirinya sebagai seorang yang cerdas dan bijak, sebenarnya, adalah manipulator utama, penipu dan ketua kejahatan organisasi ala kultus.”

Pendakwa menuntut hukuman seumur hidup. – AFP, 28 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen