Najib cadang kerjasama dengan Anwar tetapi tanpa DAP


Ahli Parlimen Pekan Najib Razak menegaskan tiada ruang untuk DAP jika pakatan dibentuk bersama Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Oktober, 2020.

BEKERJASAMA dengan Anwar Ibrahim atau parti lain adalah pilihan bagi Umno sekiranya pilihan raya umum tidak diadakan selepas wabak Covid-19 reda, kata Najib Razak.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu menegaskan tiada ruang untuk DAP jika pakatan dibentuk bersama Anwar.

Najib dalam catatan Facebook rasminya hari ini berkata bekerjasama dengan Anwar adalah pilihan kedua untuk dipertimbangkan oleh Umno sekiranya gagal mendorong kerajaan menetapkan tarikh pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Pekan sebelum ini menyuarakan cadangan itu pada perbincangan dengan ahli Parlimen Barisan Nasional siang tadi.

Beliau menambah Umno harus terbuka terhadap pilihan seperti itu jika tidak gembira dengan layanan diterima oleh Perikatan Nasional (PN), terutama selepas pilihan raya negeri Sabah.

“Saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Muhyiddin dan Azmin pada Februari lalu walaupun pada masa itu PPBM merupakan musuh kita yang banyak mengambil ahli-ahli parlimen Umno, kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga PRU15?” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Mohamed Azmin Ali.

Parlimen harus dibubarkan untuk membuka jalan kepada pilihan raya agar mandat dapat dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan dan parti pilihan mereka, katanya.

“Saya berpendapat ini adalah pilihan terbaik untuk negara sebab majoriti yang tipis kerajaan PN adalah punca politik tak stabil pada ketika ini dan ini juga akan menyebabkan pelabur tak yakin dengan negara sebab mereka akan bimbang untuk melabur jika kerajaan akan tumbang pada bila-bila masa,” katanya.

Najib juga mengecam Muhyiddin kerana “membuat langkah yang salah” dengan cuba mengisytiharkan darurat. 

Beliau turut melahirkan kebimbangan yang kegagalan perdana menteri mendapatkan persetujuan Agong dan Raja-raja Melayu akan menyebabkan pengundi meletakkan kesalahan kepada Umno. – 26 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen