Jemaah menteri setuju darurat tangani Covid-19, kata sumber


Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat kabinet selama tiga jam di Putrajaya ketika timbul spekulasi darurat di seluruh negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.

JEMAAH Menteri yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menguatkuasakan perintah darurat di tengah-tengah ketidaktentuan politik dan pandemik Covid-19, kata sumber.

“Nampaknya keputusan sudah dicapai,” kata sumber yang maklum berkenaan mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin difahamkan berlangsung lebih kurang tiga jam, berakhir kira-kira 12.40 tengah hari.

“Mereka hanya perlu atur semula perkataan “darurat” supaya orang ramai tidak panik. Mereka tidak akan panggil “darurat” tetapi akan guna istilah lain. Yang ada kaitan dengan Covid-19,” kata sumber yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Sementara itu, seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight, Muhyiddin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 4 petang ini.

Mesyuarat khas Jemaah Menteri hari ini berlangsung di tengah-tengah spekulasi Putrajaya menimbang untuk mencadangkan perintah darurat, ketika jangkitan baharu Covid-19 mencecah lebih 10,000 dalam masa sebulan berbanding jumlah yang hampir sama sepanjang tujuh bulan sebelumnya.

Dewan Rakyat dijadual bersidang selama 27 hari bermula 2 November hingga 15 Disember, dengan agenda utama pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November.

Awal hari ini, agensi berita rasmi Bernama menyiarkan tulisan pakar perlembagaan Prof Dr Shamrahayu A Aziz yang menjelaskan hal ehwal berkaitan darurat.

Katanya, perisytiharan darurat akan menyebabkan Perlembagaan Persekutuan digantung sementara pentadbiran negara ditentukan oleh pihak eksekutif.

Beberapa media juga menyiarkan laporan spekulatif mengenai perisytiharan darurat.

Straits Times Singapura yang memetik sumber melaporkan “darurat ekonomi” boleh diisytiharkan untuk memastikan perbelanjaan kerajaan menguruskan penularan Covid-19 tidak terjejas dalam keadaan politik yang tidak stabil.

“Ia tidak sama dengan perintah berkurung dan kehadiran tentera seperti selepas rusuhan kaum pada 1969.

“Sebaliknya hidup berjalan seperti biasa di bawah perintah kawalan pergerakan tanpa politik mengganggu krisis kesihatan,” kata sumber yang dipetik laporan itu.

Muhyiddin berhadapan ketidaktentuan politik selepas Umno pada 13 Oktober mengancam menarik balik sokongan terhadap kerajaannya yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Ancaman dibuat beberapa jam selepas Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan beliau ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Seminggu selepas itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengumumkan Umno akan terus menyokong kerajaan Muhyiddin.

Darurat yang menggantung Parlimen pernah diisytiharkan selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, yang meletus susulan pilihan raya umum tahun itu. – 23 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen