Kerajaan tak stabil, menteri tak cekap punca penjara zon wabak, kata Nur Jazlan


Ragananthini Vethasalam

Pasukan keselamatan berkawal di kuarters kakitangan Penjara Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah yang dikenakan PKPD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.

PENCEGAHAN berkesan sepatutnya diambil Kementerian Dalam Negeri lebih awal untuk menghalang wabak Covid-19 meledak dalam penjara dan pusat tahanan, kata Nur Jazlan Mohamed.

Bekas timbalan menteri dalam negeri itu berkata isu penjara dan pusat tahanan sesak- yang mewujudkan persekitaran kondusif untuk penyebaran koronavirus- ditangani dengan baik oleh pentadbiran Barisan Nasional dahulu.

“Kejayaan Malaysia di bawah kerajaan BN sebelum 2018 memacu permintaan untuk pekerja asing sah dan haram.

“Masalah pusat tahanan dan penjara sesak diutamakan dan diuruskan dengan baik, dan isu kesihatan juga sentiasa jadi keutamaan terpenting bagi menghentikan penyebaran wabak dalam pusat tersebut,” kata Nor Jazlan kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata sembilan penjara dan pusat pemulihan di Selangor dan utara Semenanjung akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD).

Sembilan pusat itu adalah Pusat Pemulihan Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Pemulihanan Kamunting dan Penjara Tapah. Manakala di Selangor, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Pemulihan Puncak Alam terlibat.

Lima lagi penjara lain adalah kluster aktif Covid-19 di Sabah, Pulau Pinang dan Kedah. Ia adalah Penjara Benteng di Lahad Datu, Kepayan di Kota Kinabalu, Reman di Pulau Pinang, Seberang Perai juga di Pulau Pinang dan Tembok di Kedah.

Kluster Tembok di Kedah merepotkan 1,586 kes diikuti oleh Kluster Benteng Lahad Datu dengan 1,085 kes. Satu lagi kluster penjara di Sabah, Kepayan, pula melaporkan 582 kes. Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai di Pulau Pinang pula masing-masing melaporkan 407 dan 95 kes.

Sebelum ini, wabak turut meledak di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Semenyih dan Sepang di Selangor.

Kerajaan tak stabil lantik menteri tak buat kerja punca wabak Covid-19 meledak di kawasan penjara, kata bekas timbalan menteri dalam negeri Nur Jazlan Mohamed. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.

Nur Jazlan adalah timbalan menteri dalam negeri bermula 2015 hingga 2018, menyalahkan kerajaan semasa kerana meletusnya wabak di kawasan penjara.

“Menteri dalam negeri (Hamzah Zainuddin) patut kurangkan masa berpolitiking dan lebihkan masa buat kerjanya sebagai eksekutif bertanggungjawab dan mengambil langkah pencegahan pada awal tahun ini untuk mengekang risiko wabak di kawasan ini,” katanya.

“Pihak berkuasa patut menjalankan ujian saringan berkala ke atas banduan dan kakitangan di pusat ini dan melakukan penjejakan kontak berkesan bagi menghalang wabak daripada menular dalam fasiliti dan komuniti ini.

“Inilah masalah dengan kerajaan tak stabil dan pelantikan menteri yang tak cekap.”

Penjara dan kuarters kakitangan Tawau dan Kepayan di Sabah, Reman dan Seberang Perai di Pulau Pinang serta Pokok Sena dan Alor Setar di Kedah kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD).

Nur Jazlan berkata pemindahan kakitangan penjara ketika musim wabak juga perlu dihentikan bagi menghalang penularan jangkitan virus di luar kawasan penjara dan pusat tahanan.

Hamzah Zainudin patut buat kerja selaku menteri bertanggungjawab ke atas urusan penjara daripada sibuk berpolitik, kata Nur Jazlan Mohamed. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini berkata situasi sesak dalam penjara dan pusat tahanan boleh menjadi salah satu punca berlakunya lonjakan kes Covid-19 di kawasan itu.

Tambahnya, ada kemungkinan banduan dijangkiti Covid-19 ketika mereka meninggalkan penjara untuk ke mahkamah bagi pendengaran kes dan tujuan keluar yang lain.

“Bila mereka pulang ke penjara, bukan hanya banduan tetapi pegawai pengiring juga berdepan risiko jangkitan,” kata Dr Noor Hisham.

Ada juga kemungkinan jangkitan berlaku dari luar sama ada melalui kakitangan atau pelawat, tambahnya lagi.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan sekarang, tahanan baharu akan disaring dan diasingkan selama 14 hari.

Mereka hanya akan ditempatkan bersama banduan sedia ada jika disahkan negatif Covid-19 pada ujian saringan kedua dalam tempoh pengasingan berjalan.

Noor Hisham berkata selain mencari kaedah menangani masalah kekangan ruang dalam penjara, Kementerian Kesihatan juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen untuk menyelaraskan dan memperincikan lagi SOP sedia ada. – 23 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen