Kes Khairuddin buat rakyat makin marah, kata pemimpin Umno


KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak mendakwa Khairuddin Aman Razali atas kesalahan ingkar arahan kuarantin membuatkan rakyat semakin marah pada kerajaan, kata pemimpin Umno.

Ketua Umno Batu Pahat Puad Zarkashi berkata rakyat juga kecewa kerana kerajaan dilihat tidak tegas menguatkuasa undang-undang dan mengambil masa terlalu lama untuk bertindak.

Malah pegawai Kementerian Kesihatan pula kini dipersalahkan sedangkan menteri terbabit sepatutnya menjalankan kuarantin sejak awal lagi.

“Maka dari segi moral sepatutnya sebagai menteri, Khairuddin lebih mengetahui tanggungjawab beliau untuk melakukan kuarantin kendiri. Takkan itu tidak boleh fikir?

“Kini kerajaan dituduh melakukan ketegasan selektif. Kerajaan tambah kemarahan rakyat,” kata Puad dalam kenyataan di Facebook.

Beliau mengulas alasan Peguam Negara Idrus Harun semalam yang menjelaskan Khairuddin tidak didakwa kerana didapati tidak diarahkan untuk menjalani perintah kuarantin wajib.

Katanya, seseorang hanya perlu menjalani perintah kuarantin wajib sekiranya diberi sejenis dokumen dipanggil Borang 14B.

Bagaimanapun menteri itu tidak diberikan borang berkenaan sekembalinya dari luar negara 7 Julai lalu.

Walau tidak didakwa atas kesalahan melanggar perintah kuarantin, Khairuddin membayar kompaun RM1,000 bagi kesalahan tersebut, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada Ogos.

Bayaran kompaun itu dibuat pada 7 Ogos, sebulan selepas beliau pulang dari Turki, ketika isu berkenaan meledak pada masa itu.

Beliau juga mengumumkan akan menderma empat bulan gaji sebagai tanda menyesali kesalahan itu.

Ia dilihat bertentangan dengan hasil siasatan polis selama tiga bulan yang didapati tidak perlu tindakan lanjut oleh peguam negara.

Seorang pemimpin DAP Wong Kah Woh berkata keputusan bahawa menteri tersebut tidak melanggar kuarantin kerana tidak diberi borang 14B amat mengarut.

Menurut Wong, ia menunjukkan seolah-olah Peguam Negara Idrus Harun bertindak sebagai peguam bela Khairuddin.

“Saya ingin ingatkan peguam negara dalam kes yang jelas seperti melibatkan Khairuddin di mana bukti prima facie melampaui keraguan, tuduhan ke atas Khairuddin tidak dapat dielakkan.

“Khairuddin bertanggungjawab membuktikan beliau tidak bersalah di mahkamah dan berhak mencabar kes pendakwaan.

“Bukan tugas peguam negara untuk mencari alasan untuk membolehkan Khairuddin terlepas. Tapi sedihnya, peguam negara bertindak seperti peguam bela Khairuddin dalam kes ini,” katanya. – 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen