Lelaki Myanmar tak pakai pelitup muka dipenjara 14 hari 


Lelaki itu didakwa gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat jangkitan) 2020 dengan tidak memakai topeng pelitup muka di sebuah stesen minyak, Jalan Gombak, Setapak, di Kuala Lumpur, pada 12.30 tengah hari, 6 Oktober lepas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

AKIBAT gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tidak memakai pelitup muka, seorang lelaki warga Myanmar dipenjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Majistret S. Mageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap Ki Raung Do Raung, 21, yang tidak bekerja selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 6 Oktober lepas.

Lelaki itu didakwa gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat jangkitan) 2020 dengan tidak memakai topeng pelitup muka di sebuah stesen minyak, Jalan Gombak, Setapak, di Kuala Lumpur, pada 12.30 tengah hari, 6 Oktober lepas.

Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ki Raung yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah dengan alasan tidak mampu membayar denda kerana tidak mempunyai wang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran. – Bernama, 20 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen