Anwar desak KKM dedah strategi kekang Covid-19 di Sabah


Anwar Ibrahim mendesak KKM mendedahkan strategi pengekangan penularan Covid-19 di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan perlu mendedahkan sepenuhnya strategi untuk mengekang penularan Covid-19 di Sabah melalui saringan dan kaedah lain, kata Anwar Ibrahim, hari ini.

Ketua pembangkang itu berkata situasi wabak Covid-19 di Sabah kini membimbangkan dengan lebih separuh daripada jumlah keseluruhan kes Malaysia sejak awal bulan ini berlaku di Negeri Bawah Bayu itu.

Tambahnya lagi, kebimbangan itu memuncak apabila hampir satu pertiga daripada 190 korban wabak Malaysia direkodkan berlaku di Sabah.

“Para pakar juga telah meramalkan bahawa kita akan menyaksikan kadar jangkitan yang akan terus meningkat di Sabah tatkala virus tersebut terus merebak di kalangan warga.

“Mereka juga telah mengesyorkan bahawa pengujian secara besar-besaran (massive testing) sebagai langkah yang ampuh dalam mengesan dan memisahkan mereka yang telah dijangkiti sebelum ia terus merebak.

Katanya lagi, Malaysia sepatutnya sudah berkemampuan melakukan saringan besar-besaran memandangkan kita sudah memerangi Covid-19 selama lapan bulan.

“Setelah lapan bulan kita mendepani wabak ini, saya fikir kita sepatutnya telah mampu dan punya keupayaan untuk menjalankan pengujian besar-besaran. Kementerian Kesihatan mesti mendedahkan kepada umum sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak ini di Sabah, apakah secara ianya secara pengujian atau langkah dan strategi yang lain,” katanya.

Malaysia hari ini melaporkan 865 ke baharu Covid-19, 453 kes dilaporkan di Sabah sahaja. Negeri itu turut melaporkan tiga kematian baharu hari ini.

Anwar juga berkata KKM tidak mampu menangani wabak itu bersendirian kerana situasi semasa sistem kesihatan Sabah yang kurang peruntukan, kakitangan dan sumber, maka kerana itu, lebih banyak kementerian dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) perlu digerakkan.

Beliau turut mendesak Putrajaya menawarkan bantuan kewangan khas dan bantuan makanan kepada kawasan terjejas di Sabah bagi memastikan penduduk negeri itu mempunyai bekalan asas mencukupi untuk berdepan krisis kesihatan yang melanda sekarang.

Tambahnya, kerajaan juga perlu berkongsi dengan terbuka semua data kes, saringan dan kematian dengan profesional kesihatan yang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melawan pandemik itu.

“Kekurangan maklumat akan menghalang pakar-pakar perubatan di seluruh negara dari memberikan bantuan dan kepakaran yang mereka ada.

“Dasar dan kebijakan maklumat yang terbuka akan meningkatkan kepercayaan rakyat pada kerajaan, terutamanya dalam suasana pandemik saat ini,” kata Anwar.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuklah parti politik sudah mendesak Putrajaya memperuntukkan lebih banyak dana kepada Sabah untuk melawan wabak Covid-19.  – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen