Menteri kesihatan Afrika Selatan dan isteri positif Covid-19


Menteri Kesihatan Afrika Selatan Zweli Mkhize dan isteri Dr May Mkhize disahkan positif Covid-19. – Gambar AFP, 19 Oktober, 2020.

MENTERI kesihatan Afrika Selatan dan isterinya dijangkiti Covid-19 ketika kes di negara ini terus meningkat, lapor Agensi Anadolu.

“Saya ingin memberitahu orang ramai, hari ini saya dan isteri Dr May Mkhize disahkan positif Covid-19,” ciap Zweli Mkhize pada Ahad.

Menteri itu berkata beliau melakukan ujian Covid-19 pada Sabtu apabila mula menunjukkan gejala ringan.

“Saya kini menjalani kuarantin di rumah dan saya serta isteri tetap optimis yang kami akan pulih sepenuhnya daripada virus ini,” katanya.

Menteri itu menggesa warga Afrika Selatan terus mematuhi protokol kesihatan seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak sosial dan kerap membasuh tangan. 

Menurutnya negara itu telah membuat kemajuan penting dalam memerangi pandemik tersebut.

Afrika Selatan, pernah menjadi antara enam negara paling terjejas di dunia, kini yang ke-12 paling banyak dijangkiti dengan jumlah kes tertinggi di benua ini.

Negara itu mencatatkan 1,662 kes baharu Covid-19 pada Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 703,793 dengan 18,471 kematian. Lebih 600,000 lagi telah pulih. 

Lebih 4.5 juta individu menjalani ujian saringan sejak pertama kali ia dikesan di negara ini tujuh bulan lalu.

Mkhize, yang mengetuai barisan hadapan dalam memerangi pandemik itu, berkata akan menggunakan tempoh kuarantin ini untuk berehat dan mengumpul semula tenaganya dan berharap dapat kembali bertenaga untuk memastikan dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkesan. 

John Nkengasong, Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Afrika CDC), berharap Mkhize dan isteri cepat sembuh.

“Kami sangat menyokong gesaan anda kepada seluruh rakyat Afrika Selatan supaya tidak mengabaikan langkah-langkah kesihatan awam,” ciapnya di Twitter pada Isnin. – Bernama, 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen