Rakyat Selangor boleh pilih pemimpin bertuala sebagai MB, kata Azmin


Semua orang berhak untuk menjadi menteri besar Selangor, termasuklah pemimpin umno bertuala itu, kata Menteri Besar negeri itu, Azmin Ali (berketayap putih). – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 Disember, 2017.

RAKYAT Selangor berhak untuk memilih sesiapa pun untuk menjadi Menteri Besar Selangor, termasuklah pemimpin Umno yang bertuala, kata menteri besar negeri itu Azmin Ali.

Jelas sekali Azmin merujuk kepada Ketua Umno Sungai Besar kontroversi Jamal Md Yunos yang mendakwa mampu menggantikan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor.

“Maka datanglah seorang pemuda yang pakai tuala nak lawan saya di Bukit Antarabangsa. Silakan.

“Kalau tuan, puan dari Bukit Antarabangsa inginkan menteri besar yang pakai tuala, pilihlah dia,” kata Azmin seperti dipetik oleh Malaysiakini.

Walaupun tidak menyebut nama Jamal, Azmin kerap menjadi sasaran pemimpin Baju Merah itu yang kerap membuat “persembahan” yang bertujuan untuk “membuka pekung” kerajaan Selangor.

Antara “persembahan” Jamal terbaharu adalah bila beliau membakar kadbod berupa ahli DAP yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim yang dituduh menghina Sultan Selangor.

Persembahan beliau itu berakhir dengan tangkapan oleh polis.

Menurut Jamal, Ketua Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar sudah memberikan beliau lampu hijau untuk bertanding di menentang Azmin pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Azmin berkata walaupun Selangor sebagai negeri terkaya dan penyumbang terbesar kepada Putrajaya, tetap negeri itu menjadi mangsa buli.

Di Selangor kita bukan saja menjadi negeri maju dan industri, ramai pelabur asing datang melabur di Selangor malah jabatan statistik mengumumkan yang terbaru Selangor sekali lagi muncul negeri yang paling maju di Malaysia.

“Kita penyumbang terbesar kepada KDNK negara. Tetapi apabila kita penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia, kerajaan Persekutuan masih lagi membuli kita,” kata Azmin. – 16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • baik pilih yg pakai tuala daripada yg menyusahkan rakyat..lagi2 boneka tokong..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan